“Never lost in Tambun” – Peja guna papan iklan lancar serangan buat pencabar

“Never lost in Tambun” – Peja guna papan iklan lancar serangan buat pencabar

 

Bukan aneh untuk seseorang calon menaikkan sepanduk atau poster untuk memaparkan wajah mereka bersama kata-kata pikat bagi menarik sokongan.

Namun penyandang kerusi parlimen Tambun dan bekas menteri besar Perak, Ahmad Faizal Azumu, berada dalam kelas tersendiri.

Berbeza dari biasa, Ahmad Faizal – yang dicabar Pengerusi Pakatan Harapan (PH) – memilih papan iklan khusus untuk menyerang musuh politiknya.

Dalam paparan papan iklan besar yang dipasang di atas jambatan di Jalan Tambun, Ipoh itu, terpampang jelas wajah Ahmad Faizal bersama kata pikat Never Lost In Tambun.

Ia merupakan mainan kata-kata pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perak dan Timbalan Presiden Bersatu itu yang mengingatkan orang ramai kepada sebuah taman hiburan tema terkenal di kawasan berkenaan, Lost World of Tambun.

Kata-kata tersebut boleh ditafsir sebagai menunjukkan Ahmad Faizal tidak pernah kalah di Tambun, atau menggambarkan dia tidak pernah ‘sesat’ di kawasan tersebut.

Tinjauan Malaysiakini mendapati sesetengah pengguna jalan raya tidak melepaskan kesempatan merakamkan gambar tersebut dengan telefon tangan masing-masing.

Anwar – yang berasal dari Pulau Pinang – mengumumkan rancangannya bertanding di kerusi Tambun pada 20 Okt lalu, sekali gus menunjukkan Perak kini menjadi antara negeri tumpuan buat PH dalam PRU ke-15.

Sehari kemudian, Ahmad Faizal menyindir presiden PKR itu dengan video pendek.

“Di Tambun, kita sebut ayor – dengar betul-betul: ayor, bukan ayaq,” katanya.

Untuk rekod, Anwar dilahirkan di Cherok Tok Kun, Permatang Pauh, dan pernah menjadi ahli parlimen kawasan itu selama enam penggal.

Pada PRU ke-14 yang diadakan pada 2018, Ahmad Faizal mengalahkan dua calon lain iaitu penyandang semasa Ahmad Husni Hanadzlah dari BN dan Muhamad Zulkifli Mohamad Zakaria (PAS), dengan kelebihan 5,320 undi.