Netizen kritik fungsi MySJ Trace, bimbang maklumat digodam

Netizen kritik fungsi MySJ Trace, bimbang maklumat digodam

Fungsi MySJ Trace dalam aplikasi MySejahtera yang diperkenalkan kerajaan baru-baru ini, menerima kritikan hebat daripada warga maya di media sosial, sejak malam tadi.

Hasil carian di Twitter mendapati, majoriti netizen menyatakan kebimbangan data peribadi mereka akan digodam sekiranya fungsi baharu aplikasi itu digunakan, lapor Getaran.

“MySJ Trace adalah satu bentuk inovasi yang membawa kepada pencerobohan maklumat peribadi dan saya langsung tidak percaya dengan fungsi terbaharunya. Saya tidak akan gunakan kerana ia boleh menjejaki setiap langkah kita,” kata Faiz Yahaya.

“Aku tak puas hati bila fungsi terbaharu (MySJ Trace) kena on kan location kita di mana. Ini sahaja sudah membuktikan orang akan mengetahui di mana kita berada. Walaupun memudahkan, namun saya tidak akan gunakan kerana mendedahkan privasi saya,” luah Jannah Azli di Twitter.

Sementara itu, warga maya juga menyatakan ketidakpuashatian terhadap fungsi MySJ Trace kerana perlu menggunakan bluetooth sepanjang masa, yang dilihat sama sekali tidak praktikal.

Pada masa sama, ia juga meraih kekeliruan orang ramai yang mempersoalkan hasil positif serta faedah boleh diterima sekiranya menggunakan fungsi baharu aplikasi MySejahtera.

“Kalau setiap masa kena on bluetooth, boleh m****s cepat bateri aku. Sangat keliru dengan tindakan kerajaan dengan fungsi MySJ Trace dan sangat tidak praktikal untuk digunakan pun,” kata pula Rahim Seradin.

“Saya ada gunakan MySJ Trace malam tadi serta saya tinggalkan phone saya di ruang tamu. Apa yang pelik, belum lagi di antara keluarga saya gunakannya dan saya belum keluar dari rumah tapi dah ada empat interaksi. Sungguh hairan,” soal Wayne Lee.

“Sangat mengarut fungsi baharu dalam MySejahtera. Aku baru aktifkan sahaja (MySJTrace), tiba-tiba dah ada dua interaksi sedangkan hanya aku seorang sahaja di rumah. Apa benda mengarut yang dah berlaku ini,” luah Safri Ahmad di Twitter.

Sementara itu, Jurucakap Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi kenyataan hari ini memberi jaminan, semua data pemilik aplikasi MySejahtera tidak diceroboh atau digodam mana-mana pihak.

Katanya, MySJ Trace merupakan salah satu fungsi mudah alih pengesanan kontak (contact tracing) yang dibangunkan oleh Kerajaan Malaysia.

“MySJ Trace menjadi pelengkap kepada aplikasi MySejahtera untuk membuat pengesanan kontak dan mengenal pasti pengguna MySJ Trace sekiranya menjadi kontak rapat kepada pengguna yang telah disahkan positif COVID-19.

“Kerajaan menjamin bahawa sebarang maklumat yang dikumpul dan digunakan akan mematuhi standard keselamatan maklumat kerajaan Malaysia,”katanya.

Terdahulu, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menjelaskan, fungsi MySJ Trace dibangunkan bagi memenuhi keperluan program Find, Trace, Test, Isolate dan Support (FTTIS) dalam pencegahan dan mengawal penularan jangkitan COVID-19 .

Langkah itu kata MOSTI, dibuat bagi memastikan keberkesanan aktiviti pengesanan kontak rapat kepada kes positif jangkitan COVID-19. – Getaran, 31 Disember 2021.