Nazri terima sumbangan wang untuk baiki sekolah di Pattani

Nazri terima sumbangan wang untuk baiki sekolah di Pattani

 

Seorang bekas menteri memberitahu Mahkamah Sesyen dalam perbicaraan rasuah melibatkan projek terowong dasar laut terhadap Lim Guan Eng bahawa beliau menerima sumbangan daripada Pengarah Consortium Zenith-BUCG Sdn Bhd Zarul Ahmad Mohd Zulkifli untuk membaiki sekolah agama yang usang di selatan Thailand.

Nazri Aziz yang menjadi Menteri Pelancongan dari 2013 hingga 2018, juga berkata, beliau tidak menerima sebarang wang daripada Zarul untuk memperkenalkannya kepada Lim yang ketika itu adalah Ketua Menteri Pulau Pinang, berkaitan projek berkenaan.

Nazri yang juga saksi ke-14 pendakwaan berkata demikian ketika disoal balas peguam Lim, Gobind Singh Deo, berhubung soalan yang dikemukakan oleh pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Gobind: Adakah mereka bertanya sama ada kamu menerima wang daripada Zarul untuk memperkenalkannya atau bagi projek itu?

Nazri: Tidak.

Gobind: Adakah beliau (Zarul) memberikan kamu RM500,000 berkaitan projek itu?

Nazri: Tidak, tetapi beliau memberikan saya sumbangan derma untuk membantu membaiki sekolah agama yang usang di Pattani, selatan Thailand.

Nazri berkata, mengemukakan cadangan projek – seperti yang cuba dilakukan Zarul berkaitan projek terowong dasar laut dengan kerajaan Pulau Pinang – bukanlah sesuatu yang ganjil.

Nazri turut bersetuju dengan Gobind bahawa beliau telah menemui pihak-pihak di luar pejabatnya pada lewat malam kerana sibuk.

Sementara itu ketika disoal semula Timbalan Pendakwa Raya Wan Shahruddin Wan Ladin, Nazri, 67, menjelaskan beliau berasal dari Ulu Perak di mana ramai orang yang berketurunan Pattani.

“Saya telah melawat daerah itu dan melihat sekolah pondok, masjid serta surau yang terlalu usang. Saya telah menerima sumbangan untuk memberikan bantuan,” katanya yang juga Ahli Parlimen Padang Rengas.

Menurutnya, beliau berkawan dengan Zarul pada 1990-an selepas mengenalinya menerusi rakan lain.

Nazri berkata, Zarul menyuarakan hasratnya untuk menemui “orang yang berkuasa” di Pulau Pinang untuk melaksanakan projek di negeri itu.

“Saya tidak pasti bila beliau berkata demikian. Saya mengambil inisiatif menghubungi Lim dan memaklumkan kepadanya ada seseorang yang mahu menemuinya,” katanya, memetik laporan FMT.

Pertemuan antara Lim dan Zarul berlaku di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur, pada awal Januari 2011. Lim dan Zarul kemudian sekali lagi berjumpa di sebuah restoran Itali di Kuala Lumpur pada Mac 2011.

Lim didakwa menggunakan kedudukannya untuk meminta keuntungan 10% daripada keuntungan projek terowong dasar laut berkenaan, selain menerima suapan RM3.3 juta daripada ahli perniagaan itu.

Lim turut menghadapi dua tuduhan menyebabkan lot tanah milik kerajaan negeri bernilai RM208.7 juta dilupuskan kepada dua syarikat.