Nasi kandar babi: Akhirnya pengusaha gerai buka mulut jelaskan perkara sebenar

Nasi kandar babi: Akhirnya pengusaha gerai buka mulut jelaskan perkara sebenar

 

“Saya bukan nak kelirukan sesiapa. Saya hanya berniaga kecil-kecilan di kedai yang memang jelas ‘non halal’.”

Demikian kata pengusaha gerai Nasi Lemak dan Nasi Kandar ‘Non Halal’, Suresh G, 38, susulan tular mengenai hidangan itu dijual dengan lauk babi.

Menurutnya, nasi kandar atau nasi lemak lauk daging babi yang dijual adalah makanan istimewa selain ia adalah jenama perniagaannya yang diusahakan sejak tiga minggu lalu.

“Ini sudah minggu ketiga saya berniaga. Semalam baru perasan perkara ini tular termasuk ada artikel yang keluar. Dulu ada restoran tapi dah tutup, itu yang ambil keputusan buka gerai dan menyewa di kedai Cina.

“Memandangkan ini adalah kedai ‘non halal’, itu sebab saya jual lauk ‘non halal’ iaitu daging babi. Bukan nak susahkan hati sesiapa pun.

“Saya ini hanya nak cari makan saja. Saya jual makanan ini memang di kedai Cina dan bukan di kawasan perumahan. Jadi, pelanggan pun memang bukan Islam.

“Menu ini adalah jenama saya dari awal gerai ini dibuka. Saya tak terfikir nak berhenti. Lagi pula, ia adalah ‘speciality’ di sini sebab idea dan ‘branding’ memang macam tu,” katanya ketika ditemui wartawan Harian Metro di gerainya di Damansara Jaya, hari ini.

Menurutnya, dia beranggapan tindakan menjual hidangan itu adalah tidak salah selain berkongsi hidangan sama turut dijual di banyak lagi gerai ‘non halal’ sekitar Kuala Lumpur dan Petaling Jaya.

“Kalau mengikuti saya di Instagram dan Facebook, memang tertera perkataan ‘non halal’. Malah, setiap hantaran dimuat naik pun tulis huruf besar ‘non halal’. Kiranya memang kita maklumkan dan bagi jelas.

“Logo perniagaan pun dah tunjuk gambar binatang tu. Jadi takkan ada orang yang keliru. Saya daftar pun di bawah jenis perniagaan ‘non halal’.

“Jadi, saya berasa memang tak buat salah. Bukan nak menghina atau memalukan mana-mana pihak. Tak ada niat nak sentuh mana-mana sensitiviti dan menyinggung perasaan pihak lain. Tidak sama sekali.

“Saya bukan orang pertama buat, dah banyak di kawasan KL dan PJ. Nasi lemak daging babi misalnya bukan baru. Saya pun hairan, saya yang pertama kali buat, tapi kena kecam. Semalam siap ada hubungi dan cakap nak datang jumpa,” katanya.

Dia berkata, pemahamannya mengenai nasi kandar ialah berlaukkan kari campur.

“Jadi saya buat kari campur cara sendiri dan ada pilihan lauk termasuk daging babi. Pelanggan saya memang bukan Islam saja,” katanya.

Menurutnya, dia juga bersedia untuk berjumpa dengan mana-mana persatuan berkenaan termasuk pihak kementerian.

Terdahulu tular video dimuat naik seorang pempengaruh wanita yang mempromosikan perniagaan itu di TikTok yang berkongsi juadah nasi kandar dengan lauk babi.

Menerusi video itu turut diletakkan keterangan ‘The only stall in Malaysia to sell Indian style pork nasi kandar and nasi lemak’.

Video itu mendapat reaksi Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) yang kesal dengan promosi makanan itu selain menganggap ia bentuk penghinaan kepada industri nasi kandar di Malaysia yang diketahui dipelopori pengusaha restoran Muslim sejak puluhan tahun lalu.