“Nama saya Malaysia, dari Amerika” – Keunikan nama pelancong wanita ini curi tumpuan ramai

“Nama saya Malaysia, dari Amerika” – Keunikan nama pelancong wanita ini curi tumpuan ramai

 

Nama merupakan satu panggilan diri yang mungkin melambangkan sesuatu, atau menyimpan kenangan bagi pemberinya.

Sesetengah nama sememangnya sedap didengar dan unik, namun terdapat juga nama-nama yang berkait dengan negara.

Jika anda bertemu dengan seseorang yang namanya serupa dengan nama sesebuah negara, agaknya apa reaksi anda?

Jangan terkejut, rupa-rupanya memang ada individu yang nama mereka serupa dengan nama negara.

Baru-baru ini, tular satu video yang memaparkan seorang pelancong wanita dari Amerika Syarikat yang memperkenalkan dirinya sebagai Malaysia.

“Nama saya Malaysia, saya dari Amerika,” pelancong luar negara itu memperkenalkan diri kepada pengacara akaun TikTok, Pergi Mana Gogogo yang menemubualnya.

Apabila ditanya, ini merupakan kali pertama pelancong itu datang ke Malaysia.

Wanita tersebut memuji keindahan negara ini selain rakyatnya yang ramah dan makanan yang menyelerakan.

“Orang di sini sangat baik. Makanan (di sini) memang sedap, dan budaya di sini sangat ramah dan mesra,” pujinya.

Video 36 saat itu mendapat pelbagai reaksi dari warga maya yang rata-rata menyambut baik kedatangan Malaysia ke Malaysia.

“Hai Cik Malaysia selamat datang ke Malaysia. Saya yakin Malaysia mesti sangat sukakan Malaysia sebab orang Malaysia pun sukakan Malaysia,” kata seorang warga maya yang teruja.

“Selamat datang ke Malaysia, Malaysia,” kata seorang lagi warga maya.

“Kalau saya ada restoran, dia boleh datang makan percuma,” kata seorang lagi warga maya.

Menurut pemilik akaun, apabila ditanya asal usul namanya, wanita tersebut ada memberitahu bahawa nama Malaysia merupakan nama kebiasaan penduduk di sana.

Malah, rupa-rupanya dia tidak berseorangan kerana terdapat beberapa orang rakyat Malaysia yang turut bernama Malaysia.

“Nama ibu saudara kawan saya orang Sabahan Malaysia juga,” maklum seorang warga maya.

“Kawan mak cik saya bangsa Melanau tetapi nama dia Malaya,” beritahu seorang lagi warga maya.

Malaysia, nama yang biasa bagi orang luar negara, namun tetap istimewa di hati rakyat Malaysia.

@pgmn_gogogo

Malaysia travel to 🇲🇾 . . . #pgmn #pgmngogogo #pergimana #travel #malaysiatrulyasia #trendingreels #short #street #Malaysia #ootd #Asia

♬ original sound – pgmn_gogogo – pgmn_gogogo