Nama panggilan anak-anak kelahiran Perak

Nama panggilan anak-anak kelahiran Perak

Setiap anak kelahiran Perak dan sesiapa sahaja yang bakal bernikah dengan anak Perak wajib untuk ambil tahu akan hal nama panggilan dan gelaran untuk kebanyakan orang-orang di Perak.

Gelaran dan nama panggilan untuk susur atur mengikut turutan seperti along, angah dan seterusnya mungkin biasa kedengan di negeri-negeri lain, tetapi di negeri Perak ada sedikit kelainan yang mungkin masyarakat kita di zaman sekarang terlepas pandang.

Buat mereka yang tinggal di negeri Perak amat sinonim dan biasa dengan panggilan Yoep (untuk lelaki) dan Yong (untuk perempuan). Pernahkah anda terfikir tentang apakah kisah dan cerita disebalik nama panggilan dan gelaran yang seringkali diguna pakai oleh kebanyakan masyarakat melayu di negeri Perak? Teruskan membaca artikel ini untuk ketahui serba sedikit maklumat yang ingin disampaikan.

Untuk makluman anda, nama panggilan dan gelaran yang diberi untuk anak sulung tidak kira lelaki ataupun perempuan kebiasaannya adalah along.

Ini adalah nama panggilan umum dan gelaran yang biasa kita dengar yang digunakan oleh kebanyakan masyarakat melayu di tanah air kita, Malaysia. Masyarakat kita amat sinonim dengan gelaran dan nama panggilan sebegini untuk digunapakai apabila sudah mendapat anak saudara seperti yang disenaraikan dibawah:

  1. Pak Long / Mak Long
  2. Pak Ngah / Mak Ngah
  3. Pak Lang / Mak Lang
  4. Pak Teh / Mak Teh
  5. Pak Jang / Mak Jang
  6. Pak Ndak / Mak Ndak
  7. Pak Tam / Mak Tam
  8. Pak Su / Mak Su

Jangan anda tidak tahu pada zaman dahulu di negeri Perak, nama sebenar mereka akan digandingkan dengan nama panggilan atau gelaran mengikut susunatur panggilan khusus anak yang ke berapa.

Jadi, amat mudah untuk tahu individu tersebut adalah anak yang keberapa didalam keluarga dengan hanya ketahui namanya sahaja. Inilah keunikan yang ada di dalam nama sebenar orang perak pada zaman dahulu.

Sepertimana yang diberitahu tadi kebiasaannya, anak kelahiran jati negeri Perak Nama akan digandingkan nama panggilan atau gelaran ini bersama-sama dengan nama sebenar mereka. Tahukah anda, untuk anak sulung yang berjantina lelaki di dalam keluarga akan ada nama panggilan Yoep, Kulop atau Lope dan untuk anak perempuan pula akan ada nama penggilan Yong.

Anak Sulung : Kulop / Lope / Yoep / Yong / Chor

Sebagai contoh, jika nama yang akan diletakkan untuk anak sulung itu adalah Pudin, maka dipangkal namanya akan menjadi Yoep Pudin, Kulop Pudin atau Lope Pudin.

Oleh itu, adik-adik akan memanggil abangnya sebagai Yoep. Untuk anak perempuan sulung pula, sebagai contoh jika namanya adalah Yati, maka namanya akan menjadi Yong Yati yang menyebabkan secara tidak langsung, adik beradiknya akan memanggilnya sebagai Yong.

Anak Kedua : Ngah / Nyah

Bagaimana pula dengan anak kedua di dalam keluarga jati kelahiran negeri Perak? Nama panggilan ini sudah biasa digunakan di serata Malaysia oleh masyarakat melayu.

Ianya tidak lain tidak bukan adalah Ngah. Tidak kira lelaki ataupun perempuan, jika mereka adalah anak yang kedua di dalam keluarga maka nama panggilan Ngah akan diletakkan pada pangkal namanya. Sebagai contoh Ngah Ibrahim dan Ngah Fatimah.

Anak Ketiga : Alang / Yang

Seterusnya untuk makluman anda pembaca setia orangperak.com, penggunaan nama untuk anak yang ketiga di dalam keluarga adalah Alang. Sebagai contoh penggunaannya di dalam nama anak ketiga adalah seperti Alang Iskandar untuk yang lelaki dan untuk anak perempuan pula diberi sebagai Alang Halimah.

Anak Keempat : Ndak

Untuk anak yang ke empat dalam keluarga pula, penggunaan nama dan gelaran ndak seringkali dapat dilihat penggunaannya sehingga ke hari ini untuk anak saudara memanggil bapa atau ibu saudaranya.

Zaman dahulu untuk orang Perak, nama Pandak akan diletakkan pada lelaki sebagai contoh Pandak Lam dan nama Andak untuk pangkal nama perempuan seperti Andak Sumaiyah.

Anak Kelima : Njang

Untuk memperjelaskan bahawa anak yang kelima dalam keluarga melalui namanya pula diselitkan di pangkal nama mereka dengan perkataan Panjang untuk yang lelaki atau Anjang untuk anak perempuan.

Sebagai contoh yang boleh diambil untuk penggunaan nama panggilan yang diletakkan pada pangkal nama sebenar untuk lelaki adalah Panjang Wahab manakala untuk wanita pula adalah Anjang Timah.

Anak Keenam : Teh

Dalam penggunaan nama gelaran anak yang ke enam dalam keluarga, nama timangan Teh akan digunakan pada pangkal nama sebenar mereka. Contoh penggunaan nama panggilan ini pada pangkal nama anak yang ke enam adalah seperti Teh Budin dan Teh Kamariah.

Untuk makluman anda pembaca setia orangperak.com, ada sedikit keunikan pada nama anak keenam yang mana nama Cik Putih / Cik Puteh seringkali menjadi nama untuk anak perempuan yang ke enam.

Anak Bongsu : Busu / Su

Anak yang terakhir di dalam keluarga yang juga merupakan anak bongsu yang pada hari ini perkataan adik sering menjadi nama timangan mereka. Akan tetapi pada waktu dahulu di Perak terutamanya, nama Busu atau Su akan diletakkan pada pangkal nama sebenar mereka. Sebagai contoh untuk anak bongsu lelaki, namanya akan menjad Busu Azman dan untuk wanita pula Su Sabariah.

Mungkin pada hari ini, ramai yang tidak ambil berat dan tidak mahu lagi menggunakan nama panggilan di pangkal nama mereka. Kita sekarang ni zaman moden lebih gemar dengan nama-nama moden dan punyai dua ke tiga nama yang menyebabkan nama seseorang individu itu panjang berjela.

Walaupun begitu, inilah hakikat yang terpaksa diterima kerana kita wajar ikuti arus peredaran zaman cuma adat dan kaedah panggilan nama haruslah dipelihara agar tidak hilang dan semakin dilupakan. – OP