Nama arak Timah kekal: Mahfodz kecewa suara PAS ‘tak laku’ dalam kerajaan

Nama arak Timah kekal: Mahfodz kecewa suara PAS ‘tak laku’ dalam kerajaan

 

Veteran PAS kecewa kerana suara parti itu seolah-olah tidak dipedulikan kerajaan selepas Jemaah Menteri membenarkan arak keluaran tempatan, Timah mengekalkan namanya.

Ketua Sidang Assabiqun (Veteran) PAS Pusat, Mahfodz Mohamed, berkata parti Islam itu selama ini bertegas membantah penggunaan nama Timah pada label arak berkenaan, dan keputusan Jemaah Menteri secara tidak langsung memberi persepsi bahawa PAS gagal menyelesaikan isu melibatkan agama Islam.

“Saya amat kecewa…sebenarnya pimpinan PAS dah bantah dan bangkit (isu Timah) ke mesyuarat Kabinet tetapi nampaknya pandangan PAS tidak diambil perhatian serius oleh kerajaan. Sepatutnya apa yang disuarakan PAS diambil peringatan oleh kerajaan, kerana PAS sebahagian kerajaan,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, keputusan itu seperti menafikan keberadaan PAS dalam pakatan kerajaan Keluarga Malaysia, sedangkan parti itu mendukung sebarang keputusan kerajaan.

“Sebab itu secara langsung atau tidak, PAS dianggap oleh rakyat terutama beragama Islam sudah tidak ada peranan padahal kita sudah bantah perkara itu habis-habisan,” tegasnya.

Beliau juga mengkritik tindakan kerajaan pusat yang lebih menumpukan isu besar seperti Rang Undang-Undang 355 (RUU355), sehingga menyebabkan perkara menyentuh sensitiviti umat Islam termasuk judi dan arak dipandang remeh.

“Bukankah sudah ada rundingan dengan syarikat dan mereka juga bersetuju tukar nama lain tetapi kerajaan pula umumkan nama (arak Timah) dikekalkan. Sepatutnya tak perlu takut pada bukan Islam,” katanya.

Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Alexander Nanta Linggi berkata kontroversi mengenai nama Timah selesai selepas Jemaah Menteri bersetuju membenarkan arak keluaran syarikat Winepak Corporation Sdn Bhd mengekalkan namanya.

Bagaimanapun, syarikat itu dikehendaki menyertakan label tambahan pada botolnya bagi menjelaskan nama Timah merujuk kepada bijih timah dan bukannya menyerupai nama sesiapa, menurut laporan Sin Chew Daily.

Pada Oktober, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man ketika berucap merasmikan Muktamar Pemuda PAS berkata Jemaah Menteri membuat keputusan bahawa sebarang pengeluaran minuman keras di negara ini tidak boleh menimbulkan “keresahan rakyat” dalam konteks bangsa atau agama.

Menurut Tuan Ibrahim, keputusan itu dicapai kerajaan berdasarkan usaha yang dilakukan PAS dalam menyatakan bantahan mereka terhadap penggunaan nama Timah oleh pengeluar arak berkenaan.

Bagaimanapun, kenyataan itu bertentangan dengan Alexander apabila beliau menjelaskan Jemaah Menteri belum membuat sebarang keputusan berhubung kontroversi berkenaan.

Sebelum ini, Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor mencadangkan supaya label atau nama Timah pada botol arak berkenaan ditukar kepada Kapten Speedy selepas jenama arak buatan Malaysia itu tular di media sosial. Pandangan itu turut dipersetujui Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad.

Pengkritik mendakwa imej Kapten Speedy pada label arak berkenaan menyerupai lelaki berjanggut dan memakai penutup kepala, seolah-olah seorang lelaki Islam memakai kopiah.

Warganet turut mempersoalkan nama Timah yang dikatakan ringkasan bagi nama Fatimah, anak kepada Nabi Muhammad.

Akhir bulan lalu, Winepak bersetuju mempertimbangkan untuk menukar imej pada botol yang didakwa pengkritik sebagai menghina Islam atau mengelirukan umat Islam.