Nak sangat kerja di Singapura, lelaki sanggup tawar saguhati jika bantu dapatkan pekerjaan
Tawaran gaji lumayan membuatkan ramai berlumba-lumba untuk bekerja di Singapura sehinggakan pekerjaan seperti pekerja pembersihan (cleaner) turut menjadi rebutan.
Namun, mencari rezeki di sana bukanlah semudah disangka kerana segelintir rakyat Malaysia masih berdepan kesukaran untuk mencari kerja di Republik itu.
“Susahnya nak cari kerja di Singapura sekarang. Mohon dah banyak ‘gila’ tapi satu pun tak ada yang sangkut.
“Lepas tu bosanlah, di Facebook, WhatsApp, Telegram, TikTok kebanyakannya 99.9 peratus semua posting scammer,” kata seorang wanita yang merujuk kepada lambakan iklan jawatan kosong yang diibaratkan ‘indah khabar dari rupa’.
Bukan tidak berusaha, dia sendiri telah masuk ke negara itu bagi mencari kerja tetapi kebanyakan syarikat memintanya memohon secara dalam talian.
“Dah ulang-alik masuk, boleh dikatakan seminggu dua, tiga kali juga. Semua suruh apply online, siap bagi nombor lagi.
“Lepas tu, bila WhatsApp hantar resume, mereka balas tiada kuota (tiada kekosongan),” katanya sambil menambah dia kini kusut memikirkan cara untuk menempatkan diri di negara itu.
Pemuda itu berkata, dia kini sedang mencari kerja baharu di Singapura.
Menurut lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu, dia mempunyai pengalaman bekerja selama tiga tahun sebagai pekerja pembersihan di Republik itu.
“Kepada sesiapa yang dapat bantu saya dan recommend saya dapatkan kerja, dengan besar hati saya akan beri wang saguhati.
“Saya perlukan kerja dengan segera sekiranya ada yang sudi recommend dengan DM (mesej secara terus) saya. Terima kasih semua yang baik hati,” tulisnya menerusi satu hantaran di Facebook.
Bagaimanapun menurut mStar, dia tidak menjelaskan adakah dia masih mahu mencari kerja sebagai pekerja pembersihan atau terbuka untuk melakukan kerja dalam bidang lain.
Malah, pemuda berkenaan tidak memaklumkan sama ada dia sudah berhenti kerja atau kini mahu berubah angin dengan bekerja di tempat baharu.
Menerusi ruangan komen, rata-rata warga maya berkongsi pengalaman mereka mencari rezeki di Singapura, tidak terkecuali yang memberi kata-kata semangat.
“Hati-hati banyak scammer. Kerja tak dapat, wang melayang.
“Doa banyak-banyak minta pada Allah, yang Maha pemberi rezeki. Sabar ya, rezeki datang tak pernah salah alamat,” demikian antara komen warga maya.