Nak derma Yamaha MX King & wang tunai RM7 ribu, jangan terpedaya dengan ‘Boss James’

Viral baru-baru ini ‘Boss James’ nak derma hadiah sebuah motosikal Yamaha dan wang tunai kepada insan bertuah, namun rupa-rupa ia hanyalah kenyataan palsu sahaja, menurut pendedahan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan.
Anda mungkin sudah mengenai siapa itu Boss James? Beliau merupakan seorang invidu yang sering berkongsi video-video mengenai ilmu permotoran dan juga nilai-nilai murni untuk kebaikan orang awam.
Namun baru-baru ini, tular di media sosial bahawa Boss James mahu memberi hadiah berupa sebuah motosikal jenis Yamaha MX King 150 dan wang tunai sebanyak RM7,000 kepada orang ramai secara rawak.
Bagaimanapun menurut pendedahan di laman Facebook Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Seberang Perai Selatan, hebahan tersebut rupa-rupanya dimuat naik oleh halaman ‘Boss James’ yang palsu (fake page).
“Anda kenal siapa itu Boss James? Ya, individu media sosial yang mempromosikan kandungan video mengandungi nilai-nilai murni untuk kebaikan bersama.
“Jangan mudah terpedaya dengan hebahan yang dimuat naik oleh individu tidak bertanggungjawab bagi mengaut keuntungan dari kelalaian anda,” maklum pendedahan itu.
Dalam pendedahan itu juga, turut dimuat naik dua tangkap layar (screenshot) yang memaparkan laman Boss James sebenar dan ‘Boss James’ palsu yang jelas perbezaannya.
Terdahulu, laman ‘Boss James’ palsu telah memuat naik kenyataan mengenai pemberian ‘derma’ sebuah motor jenis Yamaha MX King 150 dan wang tunai sebanyak RM7,000 kepada orang secara rawak.
Menariknya, pemberian ‘derma’ motosikal dan wang tunai itu akan diberikan kepada mana-mana insan ‘bertuah’ terpilih yang berkongsi hantaran tersebut diikuti tulisan ‘Yamaha’ sebelum 9 Ogos ini.
Mungkin ramai yang tidak menyangka melihat ‘Boss James’ begitu ‘pemurah’ hingga bersedia mahu ‘belanja’ motosikal pilihan ramai dan wang tunai ribuan ringgit hingga hantaran itu ‘sesak’ dengan puluhan ribu komen, tanda ‘suka’ dan ‘share’.
Pendedahan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Seberang Perai Selatan di Facebook itu akhirnya berjaya ‘membuka mata’ sebilangan besar warganet yang mungkin terpedaya pada awalnya.
Sehubungan itu, tindakan pantas Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Seberang Perai Selatan atas pendedahan itu turut mendapat pujian daripada Boss James ‘asli’ sendiri menerusi satu ayat ringkas.
“Terima kasih banyak-banyak tuan. Terima kasih tolong team kami,” kata Boss James ‘sebenar’ di ruangan komentar hantaran tersebut.