Nak berhenti merokok waktu bulan puasa? Ini perkara yang perlu anda ketahui

Nak berhenti merokok waktu bulan puasa? Ini perkara yang perlu anda ketahui

 

Bulan puasa merupakan bulan orang ramai mengejar pahala disamping menahan perut daripada kelaparan.

Ramai perokok tegar yang ingin membuang tabiat rokoknya tetapi tidak tahu bagaimana. Perjalanan untuk berhenti merokok mungkin sukar, sebab itu anda perlu faham apa yang dijangka dan bagaimana untuk menangani cabaran yang dihadapi.

Selepas hari pertama anda berhenti rokok, anda mungkin akan mula mengalami gejala-gejala tertentu.

Pada fasa awal berhenti merokok, anda akan mengalami beberapa gejala kerana badan anda memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan ketiadaan nikotin.

Gejala ini termasuk kegelisahan, keinginan yang sengit, perubahan mood dan sakit kepala. Gejala tersebut merupakan gejala sementara, anda perlu ingat bahawa ini merupakan salah satu proses untuk berhenti merokok.

Sepanjang proses untuk berhenti merokok ini, pastikan anda kuat dan sentiasa mengingatkan diri supaya anda tak terjebak untuk merokok lagi.

Jika anda ingin berhenti merokok untuk selama-lamanya, anda perlu ada rancangan.

Berikut adalah lima langkah yang mudah untuk membantu anda berhenti merokok:

Langkah 1: Tetapkan tarikh berhenti
Pilih satu tarikh untuk berhenti merokok dan jadikan ia satu komitmen. Pastikan anda ikut tarikh yang ditetapkan. Anda perlu berikan masa untuk badan bersedia menerima perubahan. Sebab itu, selepas tetapkan tarikh, pastikan anda berniat untuk berubah dan perlu disiplin dan konsisten.

Langkah 2: Beritahu kepada semua orang tentang niat anda
Perkara ini sedikit sebanyak boleh membantu perjalanan anda untuk berhenti merokok. Dengan cara ini, akan ada orang-orang sekeliling yang sentiasa mengingatkan anda untuk tidak putus asa. Jika anda tidak selesa untuk beritahu secara awam di media sosial, cukup sekadar beritahu rakan-rakan rapat anda supaya mereka boleh memberi motivasi jika anda memerlukan.

Langkah 3: Sedia hadapi cabaran
Tak mudah untuk berhenti merokok dalam masa yang singkat. Keinginan untuk merokok itu akan sentiasa datang semula. Sebab itu, untuk elakkan perkara sebegitu berlaku, cuba untuk daftarkan diri dalam aktiviti fizikal seperti gym, boxing dan lain-lain. Pastikan juga anda bergaul dengan rakan yang seperti anda.

Langkah 4: Jauhkan barang yang boleh buatkan anda merokok
Anda perlu simpan atau buang alat merokok seperti pemicu, rokok, ashtray dan lain-lain. Tidak kisah di mana pun anda berada, pastikan alat-alat itu tiada di pandangan anda. Elakkan situasi yang membuatkan anda untuk merokok semula, sebagai contoh anda boleh gantikan rutin merokok dengan rakan kepada minum kopi dengan rakan kerja.

Langkah 5: Dapatkan nasihat doktor atau ahli farmasi
Doktor akan memberikan cara yang mungkin akan mengurangkan simptom dan gejala buruk semasa awal-awal berhenti merokok. Anda juga boleh mendapatkan ubat Terapi Penggantian Nikotin (NRT – Nicotine Replacement Therapy) seperti gula-gula getah dan tampalan patch NICORETTE di farmasi berdekatan.