“Nak balik kad pengenalan, bayar RM2,000”

“Nak balik kad pengenalan, bayar RM2,000”

“Masa dalam perjalanan balik selepas buat laporan polis, saya terima Whatsapp daripada nombor tidak dikenali bertanya adakah saya hilang barang. Bila saya jawab ada, dia hantar gambar kad pengenalan dan minta saya datang ambil,” kata Amiza Tiew Abdullah, 52.

Amiza kehilangan wang tunai lebih RM6,000 selepas kedainya di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Banjaran Titiwangsa di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik – Jeli, dekat sini, dipecah masuk jam 12 tengah malam, Sabtu lalu.

Bagaimanapun dia tidak menyangka penjenayah itu menghubunginya untuk memulangkan beberapa dokumen peribadi seperti kad pengenalan dan kad temu janji hospital.

“Dia minta saya datang ambil kad pengenalan dan lain-lain dengan syarat saya serahkan wang RM2,000 kepadanya.

“Selepas saya berjanji mahu berjumpa dengan dia berseorangan, dia memberikan lokasi sebuah kedai makan di Jeli,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Amiza berkata, dia segera menghubungi polis dan pihak berkuasa berjaya memberkas penjenayah pada jam 8.30 malam di sebuah hotel di Jeli dalam tempoh kurang 48 jam berpandukan mesej melalui WhatsApp antara dia dengan lelaki itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood berkata, suspek berusia 22 tahun berjaya ditahan berpandukan mesej dengan mangsa.

Katanya, bagaimanapun wang yang dicuri berbaki kira-kira RM600 saja, manakala tabung derma surau dan rumah anak yatim hanya tinggal syiling dan dibuang di Batu Melintang.

“Berpandukan nombor telefon suspek, anggota kita berjaya menangkapnya di sebuah hotel bajet di Jeli,” katanya. – HM