Najib tidak layak tanding jawatan Presiden Umno?

Najib tidak layak tanding jawatan Presiden Umno?

 

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak layak bertanding merebut jawatan Presiden dalam pemilihan UMNO yang kini ditangguhkan sehingga tahun depan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, peguam kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, ketidaklayakan itu sama sebagaimana beliau tidak boleh bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kerana disabit atas kesalahan rasuah selain berhadapan pelbagai perbicaraan lain.

Katanya, kekangan bertanding dalam pemilihan parti adalah selaras dalam Seksyen 9A(b) Akta Pertubuhan 1966 menyatakan seseorang hilang kelayakan daripada menjadi, tidak boleh menjadi atau masih menjadi sebagai seseorang yang memegang jawatan, penasihat atau pekerja sesuatu pertubuhan berdaftar jika telah disabitkan kesalahan.

Akta berkenaan memperuntukkan seseorang hilang kelayakan apabila dihukum denda tidak kurang daripada RM2,000 atau penjara tidak kurang satu tahun.

“Pun begitu, Najib boleh membuat permohonan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) untuk pendaftar membatalkan ketidaklayakan tersebut atau pun syarat lain yang berkaitan namun tetap tertakluk kepada pendaftar menentukan sama ada mahu menerima atau tidak,” katanya ketika dihubungi semalam.

28 Julai tahun lalu, Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC) namun kini dalam proses rayuan terhadap hukuman tersebut.

Namun, statusnya sebagai ahli Parlimen masih belum dilucutkan dan boleh menjalankan tugas sebagai wakil rakyat sehingga proses rayuan di mahkamah selesai atau Parlimen dibubarkan.

Najib dilaporkan mahu kembali sebagai Presiden parti dan berniat ke arah itu untuk membina semula parti namun tidak untuk menjadi Perdana Menteri.

Pemilihan jawatan Majlis Tertinggi (MT) UMNO, bahagian dan cawangan ditangguhkan ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kepada RoS iaitu sebelum 29 Disember 2022.

Mengulas lanjut, kata Mohamed Haniff, Najib bagaimanapun boleh merayu kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi membatalkan atau mengabaikan ketidaklayakan tersebut sekiranya RoS tidak bersetuju dengan rayuan yang dikemukakan.

Sumber: Utusan