Najib masuk hospital kerana sakit perut

Najib masuk hospital kerana sakit perut

 

Semalam, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilaporkan telah dimasukkan ke hospital akibat mengalami masalah kesihatan.

Bagaimanapun, pegawai beliau yang mengesahkan berita itu berkata Najib berada dalam keadaan stabil dan sedang melalui kesemua siasatan perubatan yang diperlukan.

Terbaru, anak perempuan Najib, Nooryana Najwa memaklumkan bahawa bapanya dimasukkan ke hospital kerana mengalami sakit perut.

Menerusi perkongsian di InstaStory miliknya, Nooryana berkata Najib sememangnya sering mengalami masalah perut yang berulang.

“Daddy sangat terdedah kepada ulser perut yang boleh berlaku di bawah tekanan atau disebabkan gastrik.

“Kali terakhir daddy kena ulser perut tahun lepas. Dia tidak sedar mengenai keadaannya itu sehingga dia pengsan akibat pendarahan dalaman dan terpaksa dimasukkan ke hospital selama seminggu.

“Pada 2010, dia juga turut dimasukkan ke hospital selama tiga hari kerana mengalami masalah yang sama,” katanya.

Menurutnya lagi, Najib bukan seorang yang jenis suka mengadu jika rasa tidak sihat kerana tidak mahu menyusahkan orang lain.

Dalam pada itu, Nooryana juga berharap bapanya dapat menerima rawatan dan pemeriksaan yang konsisten.

“Kami sangat berharap daddy mendapat pemeriksaan konsisten dan rawatan, jika diperlukan, oleh pihak penjara dan hospital.

“Tolong jaga daddy dan bossku kami, dia amat bermakna untuk kami. Semoga Allah merahmati kami semua,” katanya.

Najib ketika ini sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan bagi kesalahan menyeleweng dana SRC International berjumlah RM42 juta.