Najib hairan Darell Leiking tak pernah marah Tun M, Anwar isu skandal IC Sabah

Najib hairan Darell Leiking tak pernah marah Tun M, Anwar isu skandal IC Sabah

 

DATUK Seri Najib Razak hairan mengapa Timbalan Presiden Warisan, Datuk Darell Leiking masih menyalahkan Barisan Nasional (BN) berkenaan dakwaan projek Kad Pengenalan (IC) di Sabah pada era 90-an.

Najib berkata, ketika itu BN dipimpin oleh Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Perdana Menteri dibantu Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Malah, Najib berkata, meskipun mengetahui Dr Mahathir dan Anwar terbabit, Leiking tak pernah memarahi kedua-dua pemimpin berkenaan.

“Leiking ini masuk gua sejak 10 tahun lalu ke? Biar saya jawab dia.

“Parti Barisan Nasional (BN) yang terlibat projek IC di Sabah yang berlaku pada tahun 1990an ialah Umno di mana pelaku utama ialah Dr Mahathir.

“Tapi Dr Mahathir kata timbalannya masa itu Anwar yang buat pula ketika Anwar ditugaskan untuk menang Sabah masa itu.

“Malah kedua-dua dijadikan ‘boss’ Leiking dalam Pakatan Harapan,” katanya di Facebook hari ini.

Najib menjelaskan, ketika menjadi Perdana Menteri, beliau telah mengarahkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) menyiasat dakwaan projek IC besar-besaran di Sabah itu.

“Inilah antara sebab saya suruh buat RCI pada tahun 2013 untuk mencari kebenaran. Dan ini antara faktor-faktor Dr Mahathir marah pada saya sejak tahun 2013,” katanya, seperti dilaporkan Malaysiapost.

Kelmarin, Leiking memuji tindakan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili kerana mengakui ada parti komponen BN mengeluarkan IC kepada pendatang tanpa dokumen di Sabah demi mendapat undi.

Katanya, pengeluaran IC kepada pendatang tanpa dokumen telah mengubah demografi negeri itu, seterusnya menyumbang peningkatan ketara penduduk Sabah.