Najib cadang laksanakan semula GST

Najib cadang laksanakan semula GST

 

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyarankan supaya sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan semula dengan segera apabila negara pulih dari Covid-19.

Menurutnya, ia bagi membolehkan negara mencapai matlamat mengurangkan jurang pendapatan, menarik pelaburan dan mengukuhkan kekuatan fiskal kerajaan.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata negara-negara jiran yang kesemuanya melaksanakan cukai GST kini telah berjaya menurunkan cukai korporat mereka ke paras lebih rendah berbanding Malaysia.

Katanya, kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini merancang untuk mengurangkan cukai korporat secara berperingkat sehingga ke 17 peratus agar negara lebih kompetitif berbanding negara-negara jiran.

“Hasutan-hasutan bermotif politik yang membawa kepada pemansuhan sistem cukai GST, telah menghalang hasrat kerajaan BN dahulu.

“Selepas tiga tahun dimansuhkan, persepsi rakyat bahawa GST punca utama kenaikan harga barang terbukti tidak benar dan meleset apabila harga barangan asas naik lagi ketara setelah Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dilaksanakan,” katanya.

Najib berkata, selain memberi ruang untuk menurunkan cukai korporat dan cukai peribadi, sistem GST yang dipadankan dengan pakej bantuan rakyat sebenarnya memainkan peranan amat penting untuk mengurangkan jurang pendapatan.

“Ini berlawanan dengan propaganda yang menyebabkan sebahagian rakyat termakan hasutan kononnya GST lebih memangsakan pendapatan rendah dan menyebabkan kenaikan harga barangan.

“Hakikatnya adalah sebaliknya GST menyumbang kepada fiskal kerajaan dan lebihan pendapatan hasil kerajaan itu dipulangkan kepada rakyat terutama sekali golongan B40 dan M40,” katanya.

Beliau berkata, perlu disedari GST adalah cukai penggunaan di mana lebih tinggi perbelanjaan seseorang, lagi tinggi jumlah bayaran GST dan ia membuatkan golongan kaya dan berkemampuan yang berbelanja lebih, akan membayar lebih GST.

“GST juga menyasarkan ekonomi gelap dengan saiznya sebesar RM300 bilion setahun yang sebelum ini terlepas dari membayar apa-apa cukai.

“Dengan GST, saiz ekonomi gelap dapat dikuncupkan iaitu dianggarkan dari 25 peratus Keluaran dalam negara kasar (KDNK) kepada 10 peratus,” katanya.

Menurutnya, kutipan hasil GST mampu diagih kepada golongan B40 dan M40 dalam bentuk bantuan tunai rakyat yang jauh lebih besar berbanding nilai GST yang dibayar mereka.

“Sebab itu, kita perlu laksanakan semula GST secepat mungkin apabila negara pulih dari Covid-19,” katanya.

Sumber: Malaysiapost