Nahas pulang konvokesyen: Graduan terselamat belum tahu ibu bapa, kakak maut kemalangan
Nahas pulang konvokesyen: Graduan terselamat belum tahu ibu bapa, kakak maut kemalangan
Tragedi pulang dari mjlis konvokesyen sehingga menyebabkan ibu, bapa dan kakaknya maut masih lagi belum diketahui oleh gradaun Universiti Antarabangsa Unitar (UNITAR), Nur Azwa Shamimi Kamaruddin, 20 apabila kondisinya masih lagi belum stabil.
Memetik laporan dari Kosmo! Abang ketiga dari graduan tersebut, Ahmad Kamarul Syafieq, 28 memaklumkan adiknya masih belum sedarkan diri dan dalam pemantauan doktor.
“Adik bongsu saya (Nur Azwa Shamimi) selamat menjalani pembedahan akibat pendarahan dalam kepala malam tadi.
“Dia kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu,” katanya.
Dalam pada itu Ahmad Kamarul memaklumkan yang adiknya belum lagi mengetahui tentang pemergian ibu, bapa serta kakak mereka disebabkan kemalangan tersebut.
Ujarnya, fokus utama ketika ini adalah pemulihan Nur Azwa Shamimi memandangkan dia merupakan satu-satunya ahli keluarga perempuan yang tinggal selepas ibu dan kakak meninggal dunia.
Dia akui, apabila Nur Azwa sedar nanti, mereka masih lagi belum mampu untuk memaklumkan berita duka itu kepadanya.
Terdahulu, berita tiga beranak terkorban dalam kemalangan di Kampung Sungai Lerek, Kilometer 53 Jalan Persekutuan Kuala Terengganu-Kota Bharu benar-benar menyentuh hati ramai susulan mereka yang menaiki kereta jenis Perodua Axia baru sahaja pulang dari Majlis Konvokesyen anak bongsu di UNITAR Kota Bharu.
Kereta yang dinaiki, pasangan suami isteri Kamarudin Ibrahim, 55, dan Maimunah Mat Isa, 54, serta anak mereka Nur Ardieana Kamarudin, 30 bertembung dengan kereta pacuan empat roda sehingga mengakibatkan ketiga-tiga mereka terkorban.
Manakala, Nur Azwa Shamimi mengalami kecederaan parah satu-satunya ahli keluarga yang terselamat sedang menerima rawatan di Hospital Setiu.