“Nafkah anak tak bagi walaupun RM350, dengan alasan sebab ex dah kahwin” – Ubai sindir siapa?
“Nafkah anak tak bagi walaupun RM350 dengan alasan sebab bekas isteri sudah kahwin.”
Demikian luahan pempengaruh dan suami kepada penyanyi Shila Amzah, Ubai MZ yang menzahirkan rasa berang terhadap individu yang tidak menjalankan tanggungjawab sebagai seorang bapa.
Menurut Ubai, nafkah sebanyak RM350 yang sepatutnya diberikan kepada anak tidak diberikan sebagaimana selayaknya.
Tidak menyebut sebarang nama, Ubai juga bengang apabila alasan yang diberikan individu itu tidak masuk akal.
“Nafkah anak tak bagi walaupun RM350, dengan alasan sebab bekas isteri sudah kahwin. So, tanggungjawab anak sudah berpindah kepada suaminya,” tulisnya.
Tidak habis di situ, Ubai juga bengang apabila niat baik pihak yang membantu disalah ertikan.
“Bila suami kepada bekas isteri kau bagi nafkah dekat anak kau, kau cakap itu semua duit bekas kau, bukan duit suaminya. Sebab, suaminya tidak kaya. Biawak hidup ni kan!” katanya.
Dalam pada itu, Ubai juga mendedahkan individu terbabit culas untuk memberikan nafkah serta tidak menyediakan tempat tinggal, makan, minum dan kenderaan.
Malah, bil hospital untuk tujuan bersalin juga tidak dipedulikan.
“Daripada kahwin sampai cerai satu haram pun tak bagi. Anak minta kasut pun tak bagi-bagi sampai sekarang.
“Dulu bekas isteri tanggung dari makan, minum, kenderaan dan tempat tinggal. Bil hospital beranak pun langsung kau tak ambil peduli. Eh, geram pula aku,” ujarnya.
Ubai berkongsi mengenai perkara itu menerusi ciapan di platform X (Twitter) miliknya.
Sekadar info, Shila pernah berkahwin dengan Haris Idraki Elias pada April 2018. Namun bercerai pada Februari 2022.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang anak lelaki yang diberi nama Seth Uwais.
Bagaimanapun, pada 4 Ogos 2023, Shila dan Ubai mendirikan rumah tangga dalam sebuah majlis pernikahan yang berlangsung di Boathouse Ampang, Kuala Lumpur.