Lelaki ini pandu Perodua Myvi dari Malaysia ke China tanpa masalah buat ramai teruja

Lelaki ini pandu Perodua Myvi dari Malaysia ke China tanpa masalah buat ramai teruja

 

Lelaki ini pandu Perodua Myvi dari Malaysia ke China tanpa masalah buat ramai teruja

Berbeza dari kebiasaan, itulah yang dilakukan oleh seorang lelaki apabila memilih jalan darat dengan hanya menggunakan kereta untuk melancong ke negara China.

Perkara itu dikongsikan sendiri oleh Muhamad Fuad Ashaari menerusi Kumpulan Facebook Myvi 3rd Generations Club Malaysia.

Apa yang menjadi perhatian adalah perjalanan lelaki ke negara itu hanyalah menggunakan kereta yang mendapat gelaran King Malaysia iaitu Perodua Myvi generasi ketiga.

Lebih menarik, melalui perkongsiannya itu, dapat dilihat dia telah sampai ke daerah Deqin, Yunnan, China yang pada ketika ini sedang mengalami cuaca sejuk.

Malah, dapat dilihat sebahagian cermin hadapan Myvi miliknya dilitupi ais seperti salji.

“Bawa Myvi jalan-jalan bercuti di tempat sejuk. Tahan kereta ini mengharung jalan di China tanpa masalah insya-Allah,” kongsinya.

Kongsi Fuad menerusi ruangan komen, dia memulakan perjalanan ke negara China itu bermula dari Bangi yang mengambil jarak dianggarkan sejauh 4,000 kilometer (km) sehala.

Menerusi semakan kami di Google Maps, jarak perjalanan ke Wilayah Deqin adalah sekitar 4,512 km dengan tempoh pemanduan 64 jam jika tanpa henti.

Malah, difahamkan, perjalanannya itu mengambil masa selama 10 hari untuk sampai ke China dan kos minyak yang ditanggungnya untuk perjalanan pergi balik berjumlah RM2,000.

Ketika ditanya tentang bagaimana dia menyesuaikan kenderaan tersebut dengan cuaca sejuk sebegitu, Fuad menjelaskan dia menggunakan minyak enjin jenis fully synthetic daripada Perodua dan memasang pemanas mudah alih (portable heater).

Tayar yang digunakan pula hanyalah tayar biasa memandangkan musim sejuk di sana telah hampir ke penghujungnya.

Hantaran yang telah mendapat lebih 11,000 tanda suka itu nyata menarik perhatian pengguna media sosial.

Mengintai ke ruangan komen, ramai yang rasa teruja melihat kereta keluaran Malaysia itu mampu berjalan jauh sehingga ke luar negara.

Malah, ruangan komen turut dipenuhi dengan pertanyaan tentang tips dan kos pengguna itu pergi ke sana.

Tidak kurang ada juga yang berkongsikan pengalaman sama menggunakan kenderaan sendiri seperti motosikal dan Proton Exora berkunjung ke Deqin, China.