‘MySejahtera tak pun diguna untuk pengesanan kontak, kenapa mahu denda?’

‘MySejahtera tak pun diguna untuk pengesanan kontak, kenapa mahu denda?’

Adun Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran mempersoalkan mengapa aplikasi MySejahtera tidak digunakan sepenuhnya untuk pengesanan kontak dan memaklumkan pengguna sekiranya mereka terdedah dengan individu positif Covid-19.

Lebih-lebih lagi, katanya, kerajaan mengenakan denda terhadap mereka yang gagal mendaftar maklumat peribadi menggunakan aplikasi itu sebelum memasuki mana-mana premis.

“Kita imbas di semua premis, tetapi berapa ramai yang dimaklumkan yang mereka dan kontak dengan kes positif Covid-19, dan oleh itu perlu melapor ke klinik kesihatan berdekatan untuk diuji?

“Kemungkinan besar tak terjadi, memandangkan kini kontak rapat yang diketahui pun tak dihubungi untuk menjalani ujian, apatah lagi orang ramai yang berada di restoran atau cawangan bank yang sama dengan seseorang pesakit positif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Tertanya-tanya bagaimanakah data pengguna yang dikumpul MySejahtera digunakan, wakil rakyat DAP itu meminta kerajaan memberikan justifikasi tindakan mengenakan denda terhadap orang yang tidak menggunakan MySejahtera.

“Kenapa mengenakan denda RM1,000 apabila orang tidak mengimbas MySejahtera, dan (kenapa) mewajibkan (penggunaan MySejahtera), sedangkan terang-terangan sistem itu tidak digunakan untuk tujuan asalnya: iaitu mengenal pasti kontak rapat dan membendung penularan (wabak)?” soal Rajiv.

Pengesanan, ujian dan pengasingan kontak rapat Covid-19 merupakan langkah penting bagi kejayaan pembendungan penyakit itu, tetapi untuk berjaya, ia haruslah dibuat dengan kadar segera.

Ahli Parlimen Pekan Najib Razak sebelum ini turut menggesa MySejahtera digunakan untuk mengesan kontak rapat dengan mengintegrasikan sistem pemberitahuan Google/Apple Exposure Notification (Gaen) dalam aplikasi berkenaan.

 

Gaen membolehkan pihak berkuasa kesihatan membina aplikasi yang memudahkan pengesanan kontak berdasarkan jarak dekat Bluetooth, dan melindungi identiti individu yang menggunakannya.

Buat masa ini, Kementerian Kesihatan Malaysia mempunyai pemeriksan kesihatan yang ditugaskan untuk mengubungi pesakit Covid-19 melalui telefon bagi melakukan pengesanan kontak. – MK