Murid kena strok haba akibat didenda berjemur di padang, mungkin bergelar OKU

Murid kena strok haba akibat didenda berjemur di padang, mungkin bergelar OKU

 

Seorang murid darjah lima dipercayai didenda berjemur di padang oleh gurunya di sekolah pada 30 April lalu mungkin akan dinilai sebagai Orang Kelainan Upaya (OKU) susulan mengalami masalah kesihatan selepas kejadian tersebut.

Memetik laporan dari Harian Metro, ibu mangsa,  AD Mogahana Selvi, 35 memaklumkan pihak Hospital Ampang telah mengeluarkan surat rujukan berkenaan anaknya itu selepas kanak-kanak terbabit didapat mengalami masalah saraf disebabkan strok haba.

“Terus terang cakap saya sakit hati bila tengok keadaan anak tidak macam biasa. Dulu dia kerap bermain dengan abang dan adiknya, sekarang dia banyak menyorok dan bercakap sendiri.

“Pihak hospital juga memaklumkan kepada saya bahawa anak sudah tidak boleh belajar di sekolah biasa akibat masalah kesihatan dialaminya dan minta saya hantarnya ke sekolah khas selepas ini,” katanya.

Susulan daripada itu, peguam mereka, Dinesh Muthal yang mewakili AD Mogahana Selvi serta suaminya, B Suresh, 40 akan mengemukakan saman sivil terhadap semua pihak yang terbabit dalam kes berkenaan.

“Kes ini memberi tekanan kepada ibu bapa mangsa terutamanya Mogahana yang kini mengandung tiga bulan, apabila terpaksa menerima hakikat yang kehidupan normal anaknya sudah berubah.

“Disebabkan itu selain tuntutan sivil, kami mahu guru terbabit dituduh di mahkamah dan dikenakan tindakan setimpal (jika disabitkan),” katanya.

Dalam pada itu,  Pengerusi Persatuan Pemas, S Dayalan yang turut hadir dalam sidang media berkenaan memaklumkan rasa tidak puas hati dengan tindakan pihak sekolah dalam menanggapi kes berkenaan.

Mereka juga mempersoalkan tiga surat amaran yang dikeluarkan pihak sekolah dan yang terakhir diterima pada 23 Mei lalu terhadap mangsa kerana tidak hadir ke sekolah dalm tempoh dua minggu.

“Tetapi dalam tempoh itu, isu murid terbabit yang dijemur tidak dibincangkan dengan ibu bapa kanak-kanak berkenaan,” ujarnya.

Terdahulu, ibu mangsa telah memaklumkan anaknya didenda berjemur di padang bersama rakan sewaktu di sekolah oleh seorang guru.

Rakaman video kanak-kanak menceritakan hal tersebut juga telah dimuat naik wanita terbabit ke laman Facebook apabila mendapati anaknya tidak bermaya serta tiada selera makan selepas diambil dari sekolah.

Susulan daripada itu, dia telah membawa anaknya melakukan pemeriksaan di Hospital Ampang dan doktor mengesahkan dia mengalami ”heat exhaustion’.