Murid darjah lima masuk hospital, pengsan akibat didenda berjemur oleh guru

Murid darjah lima masuk hospital, pengsan akibat didenda berjemur oleh guru

 

Seorang ibu mendakwa, anaknya yang merupakan murid Tahun Lima jatuh pengsan selepas didenda berjemur di padang sekolah sekitar Ampang Jaya pada 30 April lalu.

Menurut wanita dikenali sebagai Mogahana, anak lelakinya mengadu telah didenda berjemur di padang bersama rakannya dari pukul 10 pagi hingga 12.50 tengah hari.

Kejadian tersebut dikatakan bermula apabila kanak-kanak yang berusia 11 tahun itu membuat satu aduan kepada gurunya selepas dipukul murid lain di sekolah terbabit.

Tidak memberikan sebarang bantuan, Mogahana mendakwa guru berkenaan malah mengambil tindakan ke atas anaknya dengan hukuman berjemur di padang sekolah.

Guru itu juga turut mengendahkan aduan anak muridnya yang mengalami pening kepala akibat berjemur ketika Malaysia dilanda cuaca panas melampau, lapor Harian Metro.

“Anak maklumkan kepada saya bahawa dia mulanya membuat aduan kepada cikgu itu kerana ada murid lain memukulnya. Tetapi cikgu itu malah mengambil tindakan mendenda anak saya supaya berjemur di padang sekolah.

“Anak saya ada mengadu pening kepala kepada cikgu berkenaan (semasa dijemur) tetapi aduan itu tidak diendahkan,” kata wanita berusia 35 tahun itu memetik laporan Harian Metro.

Selepas mengambil anaknya pulang daripada sekolah pada hari kejadian, Mogahana mendapati kanak-kanak berkenaan kelihatan lemah selain tidak ada selera makan.

Kanak-kanak itu kemudian mula merasakan kesakitan dan memohon untuk dihantar ke hospital sebelum jatuh pengsan sebaik sahaja tiba di pusat perubatan berkenaan.

Mogahana yang juga suri rumah itu turut menyuarakan rasa kesal di atas tindakan guru lelaki terbabit kerana mengenakan denda hingga menjejaskan kesihatan anaknya.

“Anak meminta saya hantar ke hospital kerana merasa sakit. Sebaik tiba di Hospital Ampang, dia terus pengsan. Doktor yang merawatnya kemudian memaklumkan dia mengalami ‘heat exhaustion’.

“Saya tidak puas hati dengan tindakan dan penjelasan diberikan oleh cikgu itu dalam hal ini. Bukan kerana anak saya tidak boleh didenda tetapi ia keterlaluan sehingga memudaratkan kesihatan.

“Justeru itu, saya minta pihak berkaitan termasuk Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memperhalusi denda atau hukuman dikenakan cikgu terhadap murid-murid.” Pintanya.

Terdahulu, Mogahana telah memuat naik satu perkongsian berbentuk rakaman video di laman Facebook untuk menceritakan kejadian dialami anaknya, pada Khamis lalu.

Dalam perkembangan terbaharu, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail selaku Ketua Polis Daerah Ampang Jaya memaklumkan pihaknya menerima laporan polis dari ibu mangsa pada 30 April lalu.

Pegawai perubatan di Hospital Ampang juga mengesahkan mangsa mengalami ‘heat exhaustion’, manakala siasatan pula mendapati suspek memberikan hukuman denda berdiri selama 10 minit.

Difahamkan, suspek berusia 37 tahun yang merupakan guru di sekolah berkenaan mengenakan denda tersebut terhadap mangsa bersama tiga rakannya yang lain.

Jelas Mohd Azam, siasatan berhubung kes tersebut sudah dilengkapkan dan kertas siasatan juga sudah dirujukkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.