Murid 9 tahun dakwa dihempas guru KAFA sehingga patah kaki gara-gara lambat ambil al-Quran

Murid 9 tahun dakwa dihempas guru KAFA sehingga patah kaki gara-gara lambat ambil al-Quran

 

Gara-gara lambat mengambil Al-Quran, seorang kanak-kanak berusia 9 tahun mendakwa dirinya dihempas guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) sehingga patah kaki.

Insiden itu dilaporkan terjadi pada minggu lalu di sebuah sekolah yang terletak di Marang, seperti laporan Kosmo Online.

Menurut sumber, ibu mangsa mula mengesyaki anaknya mengalami kecederaan itu setelah mengambil kanak-kanak itu pulang dari sekolah sekitar jam 5 petang pada hari kejadian.

Ibu mangsa kemudian membawa anaknya itu ke klinik swasta bagi tujuan pemeriksaan dan mendapati kaki kanak-kanak itu telah patah.

Mangsa mendakwa ia disebabkan perbuatan guru KAFA terbabit telah menghempasnya ke atas kerusi. Tindakan tersebut didakwa dilakukan kerana guru KAFA itu berang dengan perlakuan kanak-kanak lelaki terbabit di dalam kelas sebelum itu.

Ibu bapa mangsa juga telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu pada 8 Julai lalu.

Perkara itu turut disahkan oleh Ketua Polis Daerah Marang Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris dan memaklumkan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.