Murai dan gagak burung paling pintar di dunia, guna pancangan logam untuk buat sarang burung

Murai dan gagak burung paling pintar di dunia, guna pancangan logam untuk buat sarang burung

 

PASUKAN penyelidik dari Belanda mendapati bahawa burung murai dan gagak menggunakan pancangan logam untuk mengukuhkan sarang burung itu dan melindunginya daripada penceroboh.

Menariknya, pancangan logam itu sebenarnya direka khas untuk menghalang burung gagak dan murai daripada menceroboh kawasan manusia namun, sebaliknya yang terjadi.

Para saintis telah mengetahui sejak sekian lama bahawa burung murai dan burung gagak adalah antara burung yang paling pintar di dunia, tetapi mereka juga bingung dengan keupayaan menakjubkan burung itu untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran bandar.

Sudah menjadi kebiasaan bagi burung untuk menggunakan sampah dan serpihan sebagai alat serta bahan binaan untuk membuat sarang.

Tetapi, tindakan membuat sarang daripada pancangan logam anti burung itu menarik perhatian penyelidik dari Muzium Sejarah Alam di Rotterdam dan Pusat Naturalis Biodiversity di Leiden, di Belanda untuk mengkaji lebih lanjut.

“Pancang anti-burung ini bertujuan untuk menghalang burung menceroboh dan sepatutnya menakutkan burung tetapi tidak sangka burung-burung itu menggunakannya untuk membuat sarang,” kata Pengarah Muzium Sejarah Alam Rotterdam, Kees Moelike.

Sarang yang ditemui oleh penyelidik dari pokok di Rotterdam di Belanda dan Antwerp di Belgium dibuat hampir secara eksklusif daripada jalur pancang anti-burung logam tajam yang direka untuk menjauhkan burung.

Penemuan ini mendorong penyiasatan saintifik yang menemui seni bina burung yang serupa di pelbagai lokasi lain di Belanda dan sehingga di Glasgow, Scotland.

Salah satu sarang murai yang sangat mengagumkan ditemui di halaman sebuah hospital di Antwerp, Belgium.

Ia terdiri daripada kira-kira 1,500 pancang anti-burung yang kebanyakannya kelihatan diletakkan dengan bahagian tajam di luar sebagai perlindungan daripada penceroboh.

Selepas menemuinya, penyelidik memeriksa bumbung hospital dan mengesahkan bahawa kira-kira 50 meter pancang anti-burung telah tercabut dari bangunan itu.

“Untuk beberapa minit pertama, saya hanya merenungnya, sarang ini pelik, unik dan cantik.

“Malah, bagi saya sebagai penyelidik sarang, ini adalah sarang burung paling gila yang pernah saya lihat. ia adalah kubu yang luar biasa, seperti kubu untuk burung,” terang seorang ahli biologi, Auke-Florian Hiemstra.

Tambah beliau, burung akan menggabungkan objek tajam dari dahan runcing hingga paku, skru dan dawai berduri untuk membuat sarangnya sebagai perlindungan, tetapi penggunaan pancang anti-burung agak ironi kerana ia adalah perkara yang digunakan untuk menjauhkan burung-burung itu.

Bagi saintis seperti Hiemstra, ini adalah sejenis “balas dendam yang indah”. Agak menggelikan hati apabila melihat mereka menggunakan bahan yang sepatutnya menjauhkannya.

Sementara itu, Pakar Ornitologi di Universiti Birmingham, Dr.Jim Reynolds, mengakui burung-burung itu lebih hebat daripada yang kita sangkakan.

“Burung-burung ini mengambil peranti anti-burung dan menggunakannya untuk memberikan manfaatkan kepada sarang masing-masing terutama daripada musuh atau penceroboh.

“Ia sangat luar biasa dan membuktikan kebijaksanaan serta kemampuan berfikir burung-burung ini tidak dapat disangkal lagi,” jelasnya.