Mungkin Aidilfitri yang terakhir, Datuk Red sambut raya dengan Adira di Kuching

Mungkin Aidilfitri yang terakhir, Datuk Red sambut raya dengan Adira di Kuching

 

Selepas lima tahun tidak meraikan hari pertama Aidilfitri bersama, Datuk Red dan isterinya yang juga penyanyi, Adira Suhaimi bakal meraikannya bersama keluarga Adira di Kuching, Sarawak.

Datuk Red atau nama sebenarnya Datuk Seri Adenan Abu berkata, dia tidak sabar dan akan menikmati detik-detik indah itu sebaiknya kerana bimbang ia menjadi Aidilfitri terakhirnya bersama Adira.

“Adira sudah belikan tiket penerbangan untuk saya ke Kuching. Abang dan kakaknya ada di sana. Tahun ini mereka buat sedikit kelainan, emak mereka pun datang beraya di Kuching. Kalau tak ada aral melintang, malam ini saya berlepas ke sana.

“Saya akan berada di sana hingga hari raya kedua sebab Adira akan mengerjakan umrah, Ahad ini. Semenjak PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), saya tak beraya dengan Adira sebab kalau tak balik kampung, dia suruh saya meraikan hari raya pertama bersama isteri pertama.

“Itu yang saya tak sabar. Susah nak cakap, mungkin yang terakhir, saya pun tak tahu kan. Saya akan ‘all out’ luang masa dengan anak-anak terutamanya. Lagipun keluarga Adira memang sangat beri sokongan terutamanya ibu mentua. Mereka memang menunggu kehadiran saya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Dalam pada itu, Datuk Red tersentuh dengan setiap sokongan diraihnya kebelakangan ini selepas pendedahan hidupnya dirundung kesusahan.

Dia akui Aidilfitri kali ini memang besar maknanya dan banyak hikmah.

“Aidilfitri tahun ini buat saya rasa seperti hidup semula. Selepas macam-macam dugaan dan kehidupan jadi suram, memang saya cukup pakai, tiadalah beraya mewah-mewah. Tapi, ini semangat saya untuk melangkah ke fasa seterusnya,” katanya.

Kini semangatnya semakin melangit untuk bangkit kembali. Malah, dia sudah ada perancangan terbaik untuk dirinya selepas Aidilfitri untuk memperbaiki semula kehidupannya.

“Sejak kisah saya tular, saya dapatlah kumpul sedikit modal. Macamana pun, saya kena mulakan perniagaan atas usaha saya sendiri. Tidaklah banyak tapi cukuplah nak mulakan selepas Aidilfitri nanti. Saya akan mulakan koleksi pakaian sebagai perniagaan sendirilah,” katanya.

Semalam, Datuk Red berkongsi dia terus berdoa kepada Allah agar berlaku keajaiban dalam menyelamatkan bahtera rumah tangga yang dibina bersama dua isterinya iaitu Datin Seri Sharifah Norshafil Hassim dan Adira.

Terdahulu, Datuk Red dan Adira menjadi perhatian netizen di media sosial apabila kedua-duanya muncul bersama dalam siaran langsung di TikTok kerana Adira membantu mempromosi jualan kuih raya suaminya itu.

Kemesraan dilihat secara semula jadi pasangan suami isteri itu yang dianggap ‘bukan dibuat-buat’ menyebabkan rata-rata netizen mendoakan agar jodoh mereka berpanjangan, sekali gus tidak jadi bercerai.

Pada 5 Mac lalu, prosiding keputusan laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) antara Adira dan Datuk Red di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, Rawang difahamkan gagal apabila Adira tetap mahu bercerai.

Adira dan Datuk Red berkahwin di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Anggrek, 7, Asan, 6, Anggun, 5, dan Ayob, 2.