Muhyiddin ‘up’ diri sendiri jadi Penasihat Ekonomi

Muhyiddin ‘up’ diri sendiri jadi Penasihat Ekonomi

 

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yasin menawarkan diri untuk menjadi penasihat ekonomi negeri ini sekiranya dapat membentuk kerajaan nanti.

Presiden BERSATU itu berkata, pihaknya mempunyai agenda besar supaya Johor menjadi negeri paling cemerlang, gemilang dan rakyatnya menjadi maju, disegani serta dihormati.

“Saya akan bantu Johor, siapa bakal jadi Menteri Besar PN, tak kira siapa, dia adalah orang yang layak dan saya boleh jadi penasihat ekonomi.

“Kita ada agenda besar untuk rakyat sebab itu slogan kita gunakan dalam PRN (Pilihan Raya Negeri) Johor ini adalah Demi Bangsa Johor. PN akan berusaha sedaya upaya yang mungkin untuk kita bangun dan bantu.

“Supaya Johor yang terkesan berat disebabkan oleh masalah COVID-19 dengan ratusan ribu rakyat Johor sudah menjadi rakyat miskin tiada pendapatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Pentas PN Dewan Undangan Negeri (Dun) Tenggaroh, di FELDA Tenggaroh 3 di sini, malam tadi.

Katanya, antara pengisian agenda itu termasuk memperbaiki taraf hidup belia dengan peluang pekerjaan selain memperkasakan sumbangan wanita dalam ekonomi.

“Nasib baik orang FELDA ini baik sikit sebab (harga) kelapa sawit bagus, di tempat lain tak cukup makan, bagi apa pun dia ambil, nyata keadaan daif yang mana sebahagian besar adalah orang Melayu kita.

“Saya berjanji, PN buat sesuatu untuk mereka, anak muda mereka yang tiada pekerjaan, kita carikan pekerjaan, kita latih mereka betul-betul, dapat pendapatan mungkin lebih RM1,200 sebulan.

“Wanita kita akan bela nasib wanita, tak biarkan mereka jadi begitu sahaja, bagi dia cukup dengan ilmu, pengalaman, latihan dan sebagainya. Bukan sahaja nak mendidik anak di rumah tetapi juga menyumbang kepada soal pembangunan ekonomi negara,” katanya.