Muhyiddin perlu belajar dari Saarani satukan ahli-ahli politik – Puteri Umno Perak

Muhyiddin perlu belajar dari Saarani satukan ahli-ahli politik – Puteri Umno Perak

Kerajaan Persekutuan perlu mengambil formula politik di Perak dalam usaha menyatukan semua ahli politik di negara ini.

Ketua Penerangan Puteri UMNO Perak, Irmalini Amir Hamzah berkata, kerajaan negeri pimpinan Datuk Saarani Mohamad berjaya membuktikan bahawa semua ahli politik boleh disatukan.

Menurutnya, tawaran-tawaran baharu yang dikemukakan melangkaui kepentingan politik membuktikan kematangan berpolitik menyebabkan Saarani boleh diterima oleh kawan dan lawan.

“Seharusnya, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu belajar daripada Datuk Saarani bagaimana beliau berjaya menyatukan semua ahli-ahli politik di Perak termasuk pembangkang untuk bersama-sama membangunkan negeri Perak.

“Sudah sampai masanya formula politik Perak ini diguna pakai di peringkat Pusat untuk mengurangkan kepanasan suhu politik di negara ini agar usaha memulihkan negara dapat diberikan tumpuan,” katanya menerusi kenyataan di Facebooknya pada Isnin.

Irmalini yang juga Ketua Puteri UMNO Bahagian Tambun berkata, antara polisi baharu diperkenalkan pentadbiran kerajaan Perak ketika ini ialah semua ADUN dijemput hadir dalam mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah (JKTD), Jawatankuasa Focus Group Daerah (FGD) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah.

Katanya, selain itu juga, buat pertama kali dalam sejarah Belanjawan Negeri diumumkan peruntukan RM200,000 kepada semua ADUN termasuk pembangkang sebagai membantu meringankan beban rakyat.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, semua parti sama ada kerajaan atau pembangkang perlu duduk semeja mencari jalan penyelesaian menyatukan ahli-ahli politik.

Menurutnya, jika mereka tidak boleh bekerjasama dengan Muhyiddin, maka seorang pemimpin perlu dipilih bagi memastikan gencatan politik dibuat sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) boleh diadakan.

Ketika Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada 16 Disember lalu, semua ADUN Perak bersetuju sebulat suara menyokong usul undi percaya terhadap Saarani sebagai Menteri Besar Perak.

Malah pembentangan Belanjawan Negeri Perak 2021 yang dibentangkan pada bulan lalu turut diluluskan secara sebulat suara.

Usul yang diluluskan di bawah Enakmen Perbekalan 2021 itu turut mencipta sejarah apabila mendapat sokongan 59 ADUN tanpa sebarang bantahan setelah dibentang dan dibahas selama dua hari.

Sumber: https://www.sinarharian.com.my/article/118553/BERITA/Politik/Guna-formula-politik-Perak-selesai-kemelut-di-Pusat