Muhyiddin jangan persenda Perlembagaan Negara, memperolok Institusi Yang di Pertuan Agong – Speaker Perak

Muhyiddin jangan persenda Perlembagaan Negara, memperolok Institusi Yang di Pertuan Agong – Speaker Perak

 

Tujuan proses undi percaya hendak diadakan di Parlimen ialah untuk mendapatkan pengesahan sama ada Perdana Menteri mempunyai sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat, ujar Speaker Dewan Negeri Perak, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid.

Mohamad Zahir dalam satu kenyataan di Facebook berkata Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan sendiri telah mengakui beliau sudah tiada sokongan majoriti.

“Pengumuman media pada petang 13 Ogos adalah jelas tanpa ragu, Perdana Menteri sendiri telah mengakui bahawa beliau sudah tiada lagi sokongan majoriti tersebut.

“Maka tujuan untuk mengadakan undi percaya sudahpun dipenuhi dan tidak perlulah lagi ianya diadakan.

“Peruntukan Perlembagaan negara dan peruntukan undang-undang serta konvensyen sedia ada adalah jelas iaitu apabila Perdana Menteri telah hilang sokongan majoriti maka beliau bolehlah mohon untuk mengadap Yang Di Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan menawarkan diri untuk meletakkan jawatan.

“Perdana Menteri juga boleh memohon kepada Yang di Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen dan Baginda boleh memperkenankan permohonan tersebut,” katanya.

Jelasnya lagi, sekiranya Yang di Pertuan Agong menolak pembubaran Parlimen maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan dan jika enggan, beliau dianggap telah melepaskan jawatan.

Katanya jika Malaysia mahu dipandang tinggi oleh rakyatnya dan dihormati di persada antarabangsa, urusan kerajaan dan pentadbiran mesti berpaksikan kepada keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

“Marilah kita sama-sama berdoa semoga Perdana Menteri diberikan kekuatan dan kebijaksanaan untuk melakukan apa yang betul sepertimana yang termaktub di dalam Perlembagaan dan undang-undang.

“Serta menahan diri daripada terus mengheret serta mempersendakan Perlembagaan Negara dan memperolok-olokkan Institusi Yang di Pertuan Agong,” katanya.

Sumber: Suara Perak