Muhyiddin dedah maklumat percubaan campur tangan kehakiman kes mahkamah libatkan ahli politik UMNO

Muhyiddin dedah maklumat percubaan campur tangan kehakiman kes mahkamah libatkan ahli politik UMNO

 

Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan maklumat bagi menyokong dakwaan bahawa wujud percubaan meminta beliau campur tangan dalam institusi kehakiman untuk membebaskan ahli politik UMNO yang berdepan tuduhan jenayah di mahkamah.

Bekas Perdana Menteri membuat pendedahan itu dalam maklum balas terhadap notis tuntutan daripada peguam Datuk Seri Najib Razak dengan menamakan seorang peguam kanan yang menjadi sasaran Ahli Parlimen Pekan itu, lapor Malaysianow.

Portal berkenaan memetik Muhyiddin sebagai berkata beliau didekati Najib dan beberapa perantaranya untuk memohon supaya individu itu digugurkan daripada pasukan pendakwaan dalam kes rasuah yang sedang berjalan.

“Walaupun mengugut dengan saman fitnah, tiada tindakan susulan daripada pihak Najib selepas respons yang diberikan Muhyiddin,” lapor Malaysianow yang memetik pula sumber dalaman UMNO yang rapat dengan kem Najib.

September tahun lalu, Najib memaklumkan pihaknya telah menghantar surat tuntutan kepada Muhyiddin bagi menuntut jawapan berhubung tuduhan melibatkannya dan perbicaran jenayah yang sedang berjalan.

Najib berkata Muhyiddin diminta memberikan maklum balas, berkenaan sama ada beliau bertanggungjawab menyebarkan khabar angin – berhubung dakwaan beliau meminta Muhyiddin campur tangan dalam kes mahkamahnya.

Ogos tahun lalu, Muhyiddin yang ketika itu menjadi Perdana Menteri mendedahkan pihak yang mencetuskan polemik politik dalam negara kecewa dan tidak senang dengan ketegasan beliau tidak membantu membebaskan individu tertentu yang didakwa atas kesalahan jenayah di mahkamah.

“Saya tahu bahawa mereka kurang senang dengan ketegasan saya untuk tidak melayan beberapa tuntutan mereka. Ini termasuk desakan supaya saya mencampuri urusan mahkamah untuk membebaskan beberapa individu yang sedang didakwa atas kesalahan jenayah,” katanya tanpa menyatakan siapa yang beliau maksudkan.

Pendedahan itu dibuat tatkala Najib bersama Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dengan giat melancarkan serangan dalam usaha menumbangkan Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Isu berhubung campur tangan dalam institusi kehakiman kembali menjadi tumpuan susulan kenyataan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengatakan beliau tidak pernah didekati mana-mana pihak untuk campur tangan dalam keputusan kes mahkamah.

Tengku Maimun berkata beliau percaya bahawa hakim lain juga tidak pernah mengalami perkara sama dan menegaskan semua hakim membuat keputusan berdasarkan keterangan di mahkamah dan tidak lari daripada prinsip tersebut.

Kenyataan Tengku Maimun itu sekali gus menunjukkan Muhyiddin tidak mahu campur tangan dalam institusi kehakiman bagi membebaskan pihak terbabit yang telah dijatuhi hukuman dan sesetengahnya masih berdepan tuduhan di mahkamah, termasuk Najib dan Zahid.

Pada Disember tahun lalu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad turut memuji Muhyiddin kerana tidak campur tangan dalam institusi kehakiman bagi membebaskan pihak tertentu.

“Muhyiddin memberi jaminan kepada saya, beliau tidak akan masuk campur dalam perbicaraan Najib dan kes-kes mahkamah yang lain,” kata Dr Mahathir.

Laporan portal itu hari ini juga mendedahkan bahawa Muhyiddin berkata kenyataan yang dibuat berhubung cubaan untuk meminta campur tangan dalam sistem kehakiman tidak pernah menamakan Najib.

Sebaliknya, beliau berkata Najib sendiri yang mendedahkan dirinya dengan mengeluarkan notis tuntutan tersebut.

Malaysianow turut melaporkan dalam jawapannya kepada peguam Najib, Muhyiddin menyifatkan pemimpin UMNO itu sebagai “penjenayah yang sudah disabitkan bersalah”.

“Dengan sabitannya itu, klien anda tidak boleh, dalam apa jua keadaan, berhak ke atas sebarang kerosakan bagi sebarang dakwaan reputasinya terjejas.”

Pada 28 Julai lalu, Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, selepas didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

Najib kemudian mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Rayuan untuk membatalkan keputusan dan sabitan hukuman itu.

Bagaimanapun Disember lalu, Mahkamah Rayuan menolak permohonannya dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Najib kemudian mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan.