Mufti Pulau Pinang mohon maaf kepada Siti Nurhaliza kerana tegur tarikh konsert hampiri Ramadan

Mufti Pulau Pinang mohon maaf kepada Siti Nurhaliza kerana tegur tarikh konsert hampiri Ramadan

 

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, menjelaskan beliau tidak mempertikaikan niat atau tujuan di sebalik penganjuran konsert ‘Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza’, tetapi lebih kepada tarikh konsert itu sendiri.

Menurut beliau, mengadakan konsert pada waktu yang menghampiri bulan Ramadan boleh melalaikan umat Islam daripada menumpu perhatian kepada pembangunan rohani mereka.

Umat Islam sepatutnya digalakkan untuk membuat persiapan rohani secukupnya untuk menyambut kedatangan bulan yang mulia itu.

“Sepatutnya dalam waktu sedemikian umat Islam digalak bagi membuat persiapan rohani secukupnya untuk menyambut kedatangan bulan yang mulia itu,” katanya.

Namun, beliau juga mengingatkan bahawa pandangan peribadi seorang mufti tidak mengikat mana-mana individu Muslim atau bukan Muslim. Teguran yang dibuat itu adalah secara ikhlas demi kebaikan umat Islam, bukan bagi mencari populariti atas kepentingan diri.

Selain itu, beliau amat berlapang dada mengenai hiburan dan aktiviti seni umumnya. Jelasnya, agama Islam sebagai cara hidup yang selari dan seraksi dengan keadaan semula jadi manusia (fitrah) dan tidak mungkin menentang hiburan dan kesenian yang bersih (al-funun al-bari’ah), asalkan ia tidak mendorong kepada maksiat dan tidak melalaikan daripada kewajipan kepada Allah dan kepada sesama manusia.

Justeru, beliau memohon maaf kepada Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Yayasan Nurjiwa kerana teguran itu dibuat secara terbuka dan menimbulkan polemik yang tidak dijangka.

“Akhir kalam, menyedari kekerdilan diri sebagai seorang hamba Allah, saya dengan segala keinsafan memohon maaf kepada Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Yayasan Nurjiwa kerana teguran itu dibuat secara terbuka dan menimbulkan polemik yang tidak jangka,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan penyanyi Siti Nurhaliza akan meneruskan penganjuran konsert berkenaan yang dijadualkan berlangsung tiga hari sebelum menyambut bulan Ramadan.

Tujuan utama konsert tersebut adalah untuk mengumpul dana untuk disalur kepada mangsa perang di Palestin yang memerlukan bantuan segera.