Mufti Perak ditempatkan di wad biasa

Mufti Perak ditempatkan di wad biasa

IPOH: Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria sudah dipindahkan dari Wad Unit Rawatan Rapi (ICU) ke wad biasa KPJ Ipoh Specialist Hospital.

Exco Agama Islam dan Penerangan Perak, Mohd Akmal Kamarudin berkata, keadaan Harussani bertambah baik selepas menjalani beberapa rawatan di hospital berkenaan namun beliau masih dipantau dengan rapi oleh doktor pakar.

“Tan Sri (Harussani) dipindahkan beberapa hari lalu dari wad ICU ke wad biasa. Beliau sudah boleh memberikan respon dan faham apa yang kita cakap tetapi tidak mampu untuk berinteraksi dengan kita, sebahagian badannya masih tidak boleh bergerak.

“Apa yang penting beliau sudah semakin baik dan pulih. Saya sentiasa diberikan maklumat dari masa ke masa oleh Pejabat Mufti Perak tentang perkembangan kesihatan Tan Sri,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Seminar Pematuhan Halal Negeri Perak 2020 di Institut Tadbiran Islam Perak (Intim).

Dalam pada itu, Mohd Akmal berkata, Harussani kini boleh menerima pelawat namun terhad untuk memberi rehat yang secukupnya kepada beliau.

Pada 23 Ogos lalu, Harussani dikejarkan ke hosital selepas mengalami strok di rumahnya selepas solat Subuh.

Bagaimanapun sehari kemudian, keadaannya beransur baik selepas diberikan rawatan lanjut di Wad ICU KPJ Ipoh Specialist Hospital, di sini.

Sumber: Sinar Harian