MT Umno persoal peranan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021

MT Umno persoal peranan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021

AHLI Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mempersoalkan mengenai peranan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 yang ditubuhkan kerajaan.

Beliau berkata, perkara itu perlu diperjelaskan kerana rakyat ingin tahu perkembangan lanjut mengenai Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021.

“Fungsi utama jawatankuasa ini ialah untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai kewujudan darurat dan penamatannya.

“Berapa kali mesyuarat telah diadakan sejak mesyuarat pertama pada 18 Febuari 2021?,” soalnya menerusi Facebook.

Beliau berkata, apa yang menjadi persoalan sudahkah jawatankuasa khas berkenaan mengadap Yang di-Pertuan Agong dan memberi maklum balas.

“Jangan nanti Jawatankuasa Merayu Tamat Proklamasi Darurat di bawah Khalid Samad akan lebih awal mengadap YDP Agong.

“Diharap Jawatankuasa Khas Bebas ini akan beri maklum balas yang setepatnya kepada YDP Agong berdasarkan data dan sains,” katanya.

Beliau berkata, ini kerana sudah cukup jelas dan nyata ‘darurat’ gagal menurunkan kes Covid-19 sebaliknya semakin meningkat.

“Justeru tidak ada sebab darurat disambung selepas 1 Ogos 2021,” katanya.

Februari lalu, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan pelantikan Ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 selepas diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Dalam satu kenyataan media, Pejabat Perdana Menteri memaklumkan, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 itu ditubuhkan mengikut Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.

Jawatan kuasa terbabit akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ariffin Zakaria. – MP