MPT siasat kejadian bumbung runtuh di Zoo Taiping
Kejadian bumbung tempat letak kereta runtuh di Zoo Taiping dan Night Safari, di sini, semalam yang tular di media sosial tidak membabitkan sebarang kecederaan.
Pengarahnya Dr Kevin Lazarus berkata, siasatan kejadian yang berlaku sekitar 4 petang itu diserahkan kepada Jabatan Kejuruteraan Majlis Perbandaran Taiping (MPT) untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, ketika kejadian, tiada kakitangan atau orang awam berada di lokasi berikutan ia dikhaskan untuk kenderaan kakitangan sahaja.
“Kejadian runtuhan itu juga tidak mengakibatkan sebarang kerosakan ketara pada kenderaan kakitangan yang diletakkan di situ.
“MPT melalui Jabatan Kejuruteraan sedang menyiasat punca kejadian dan kawasan itu ditutup sepenuhnya untuk keselamatan, manakala kerja baik pulih dalam perbincangan,” katanya.
Kejadian bumbung parkir di Zoo Taiping dan Night Safari yang runtuh dan menimpa sebuah kenderaan tular di laman sosial sejak semalam. – HM