MPM sita khemah jalankan aktiviti gores menang
Majlis Perbandaran Manjung (MPM) menyita sebuah khemah dan barangan di dalamnya yang disyaki melakukan penipuan penjualan barang menggunakan kaedah gores dan menang, berhampiran pintu masuk sebuah pasar raya di Seri Manjung, dekat sini hari ini.
Sitaan itu dilakukan selepas kehadiran khemah tanpa lesen itu tular dalam media sosial sejak semalam yang dikatakan menjual produk urut kaki dengan sasaran mangsa di kalangan warga emas.
Yang Dipertua MPM, Syamsul Hazeman Md. Salleh berkata, pihaknya pergi ke lokasi tersebut bagi melakukan pemantauan kira-kira pukul 9.45 pagi dan mengesahkan khemah itu dibuka tanpa kebenaran pihaknya.
“Ketika anggota penguat kuasa menghampiri khemah tersebut terdapat beberapa individu di dalamnya dan mereka segera melarikan diri selepas melihat kehadiran anggota MPM,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Syamsul Hazeman, pihaknya menyita sebuah khemah, lima kerusi, penyambung wayar, kipas dan dua meja berdasarkan Undang-Undang Kecil (UUK) Penjaja (MPM) 1983 iaitu mendirikan khemah perniagaan tanpa lesen.
Jelasnya, berdasarkan maklumat orang ramai, kumpulan individu tersebut dikatakan melakukan penjualan licik menggunakan kaedah gores dan menang dengan menyasarkan wanita warga emas.
Tegasnya, apa-apa aktiviti seperti membuka payung, gerai atau kaunter di tepi jalan perlu mendapatkan kebenaran di bawah peruntukan UUK MPM.
Beliau bagaimanapun berkata, pihaknya sedang menyiasat lanjut perkara itu termasuk kemungkinan pihak pasar raya memberi kebenaran pembukaan khemah itu.
Katanya, sekiranya pihak pasar raya memberi kebenaran pembukaan khemah itu, ia adalah menjadi kesalahan kerana membenarkan khemah pihak lain dibuka tanpa kebenaran MPM.
Semalam, seorang pengguna Facebook memuat naik hantaran dan gambar dalam kumpulan komuniti yang ingin kepastian aktiviti sekumpulan individu membuka kaunter di hadapan sebuah pasar raya yang dikatakan hanya menyasarkan individu warga emas.
Ia kemudiannya mendapat pelbagai reaksi pengguna media sosial yang mempersoalkan kegiatan penjualan kaedah tersebut yang telah memperdaya ramai orang sebelum ini termasuk mengumpan dengan cabutan bertuah dan baucar yang kononnya akan menerima barangan elektrik percuma, tetapi perlu membayar harga ribuan ringgit terlebih dahulu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi ketika dihubungi berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan berkaitan aktiviti berkenaan.
Beliau menasihatkan orang ramai terutama warga emas agar lebih berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan aktiviti seumpama itu bagi mengelakkan mereka ditipu.
Nor Omar turut meminta penduduk untuk terus membuat laporan polis jika melihat atau menyedari sebarang aktiviti mencurigakan di kawasan masing-masing. – Utusan