MPKK zahir solidariti buat Pal3stin

MPKK zahir solidariti buat Pal3stin

Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) menggerakkan inisiatif menzahirkan rasa kebersamaan buat penduduk Palestin dengan memasang bendera negara tersebut bersama bendera negara Malaysia dan negeri Perak di beberapa lokasi tumpuan di sini.

Yang Dipertuanya,Zulqarnain Mohamad berkata bendera Palestin turut dikibarkan di wisma MPKK sendiri.

“Selain daripada memasang bendera Palestin, lampu bewarna merah dan hijau turut dipasang pada bangunan Menara Jam Besar dan juga bangunan Pavillion.

“Seramai 10 anggota kerja MPKK yang terlibat bagi kerja-kerja pemasangan bendera dan lampu tersebut.

“Lokasi tumpuan umum menjadi pilihan untuk mengibarkan bendera ini agar ia dapat dilihat oleh orang ramai tanpa mengira bangsa dan agama.

“Diharapkan apabila mereka melihat bendera ini, mereka akan memanjatkan doa untuk keselamatan, kesejahteraan dan keamanan Palestin”, katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Sebelum ini, MPKK pernah menzahirkan solidariti buat petugas barisan hadapan negara kita yang bertungkus lumus memerangi COVID-19 dengan memasang lampu berwarna biru di wisma MPKK.

Katanya lagi, umum mengetahui akan kekejaman rejim Zionis yang telah menyerang Masjid Al-Aqsa dan penduduk Palestin sejak penghujung Ramadan tanpa belas kasihan.

“Sebagai tanda sokongan kepada mereka kita tunjukkan rasa kebersamaan, memanjatkan doa dan menyalurkan bantuan kewangan jika mampu,”katanya.

Ujarnya lagi, diharapkan apa yang dilalui oleh penduduk Palestin akan berakhir dengan aman dan kekejaman kemanusiaan seperti ini dapat dihentikan.