MPKK mahu membudayakan tulisan Jawi

MPKK mahu membudayakan tulisan Jawi

 

Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) sedang mengorak langkah bagi pembudayaan tulisan Jawi khususnya di pusat bandar.

Yang Dipertua MPKK, Zulqarnain Mohamad berkata, pihaknya menerima banyak maklum balas positif daripada pengendali premis komersial di daerah ini berhubung langkah diambil pihaknya.

Katanya, bagaimanapun tiada paksaan atau tindakan penguatkuasaan dikenakan terhadap mereka yang enggan memandangkan setakat ini pihaknya hanya menggalakkan pelaksanaan ke arah itu.

“Kita lebih kepada menggalakkan. Kita juga adakan perbincangan dengan pemilik premis tertentu dan mereka sambut baik.

“Nama-nama jalan yang ada di Kuala Kangsar pun sudah banyak kita ketengahkan menggunakan tulisan Jawi. Bahkan ada sebilangan premis yang ‘prominent’ (terkemuka) bakal kita ketengahkan menggunakan tulisan Jawi,” katanya di sini.

Zulqarnain berkata, pembudayaan semula tulisan Jawi bukanlah sesuatu yang aneh memandangkan tulisan berkenaan diguna pakai oleh kolonial British untuk menulis surat rasmi kepada Raja-Raja Melayu suatu ketika dulu.

Menurutnya, taraf Kuala Kangsar sebagai Bandar Diraja Perak yang umum dikenali dengan tradisi budaya serta warisan tersendiri sudah tentu selayaknya perlu giat membudayakan semula tulisan terbabit.

“Ia bukan sesuatu yang asing walaupun sebilangan pihak mengaitkan tulisan Jawi dengan unsur keagamaan. Tiada paksaan dalam agama bahkan di negara lain seperti Lubnan umpamanya, gereja penganut Kristian pun ditulis dengan tulisan Arab.

“Kita tidak boleh tengok melalui kaca mata yang sempit sebegitu. Tambahan pula setakat ini di Kuala Kangsar masih tiada lagi isu berbangkit mengenai perkara ini,” katanya.