Mizz Nina takut dengan dokumen yang ada pada Noh? Ini penjelasan peguam
HAK PENJAGAAN ANAK ANGKAT: APA YANG ANDA PERLU TAHU!
Ramai sebenarnya yang menghubungi saya tentang kes hak penjagaan anak angkat Miss Nina.
Sebenarnya kes ini amat menarik untuk dikongsikan dengan orang ramai agar dapat memahami tentang kes anak angkat dari sudut perundangan.
Selepas meniliti ribuan komen daripada pihak Jabatan Netizen Negara, saya percaya masih ada pihak yang kurang jelas tentang perbezaan tuntutan hak penjagaan melibatkan anak angkat dan anak kandung yang perlu anda fahami.
Namun, sebelum itu, apa yang kita semua inginkan agar perkara ini dapat diselesaikan dengan baik antara kedua belah pihak.
1. Berbeza dengan hak penjagaan anak kandung, kes ini melibatkan hak penjagaan anak angkat yang telah didaftarkan secara de-facto di bawah bidang kuasa Jabatan Pendaftaran Negara memandangkan Musa telah di bawah penjagaan Mizz Nina secara berterusan selama 2 tahun.
2. Memandangkan Mizz Nina telah bercerai dengan pihak Noh tidak sampai 2 tahun tempoh menjaga Musa, disebalik mendapatkan kebenaran sepenuhnya oleh ibu kandung, beliau juga merupakan penjaga tunggal yang menjaga Musa secara berterusan secara penuh sepanjang tempoh 2 tahun, oleh demikian Mizz Nina telah didaftarkan sebagai penjaga tunggal de-facto bawah Akta Pendaftaran Pengangkatan 1952 di Jabatan Pendaftaran Negara.
3. Dengan pendaftaran tersebut yang disempurnakan pada jumaat lepas, isu atau pertikaian berkaitan siapa yang berhak untuk menjaga Musa tidak lagi berbangkit sekaligus permohonan hadhanah di Mahkamah Tinggi Syariah tidak lagi menjadi keperluan untuk diputusan oleh Hakim yang bijaksana. Oleh disebabkan perkara inilah, pihak Miss Nina menarik balik permohonan tersebut.
4. Memandangkan Mizz Nina merupakan penanggung tunggal yang sah, beliau berhak untuk memutuskan samada wajar atau tidak hak lawatan diberikan kepada pihak Noh selepas apa yang berlaku.
5. Berkaitan isu dokumen atau kebenaran daripada pihak ibu tunggal yang dikatakan memberikan hak jagaan kepada pihak Noh bukan lagi menjadi satu pertikaian memandangkan perkara ini telah diselesaikan di Jabatan Pendaftaran Negara dengan pendaftaran Mizz Nina sebagai penjaga angkat tunggal.
6. Pihak Noh masih boleh menuntut hak dengan membuat permohonan hak lawatan ke Mahkamah Tinggi Syariah dengan mengemukakan segala bukti sepertimana yang dibangkitkan untuk dibuktikan di Mahkamah Tinggi Syariah.
Saya harap warganet jelas dengan status kes anak angkat ini kerana ianya amat berbeza dengan kes hak penjagaan anak kandung.
Kalau anak kandung boleh la minta hak sama rata sebab sama-sama ada hak.
Namun, kalau dah anak angkat telah didaftarkan secara de-facto hanya Mizz Nina seorang sahaja yang boleh membuat keputusan atas pendaftaran yang dibuat.
Sepertimana anak yang berada bawah jagaan kita, atas kita untuk memberi kebenaran kepada mana-mana pihak tanpa paksaan untuk bersetuju untuk memberi hak lawatan atau jagaan.
Mahmud Jumaat