Misteri remaja 14 tahun kerap ‘hilang’ setiap jam 1.30 pagi akhirnya terbongkar

Misteri remaja 14 tahun kerap ‘hilang’ setiap jam 1.30 pagi akhirnya terbongkar

 

Kejadian rogol babitkan remaja 14 tahun akhirnya terbongkar apabila abang mangsa pelik adiknya kerap ‘hilang’ setiap jam 1.30 pagi.

Difahamkan, kejadian berlaku sejak Mac lalu apabila suspek dikatakan membuat temujanji dengan mangsa sebelum mereka bertemu untuk melakukan perbuatan itu dalam kebun sawit.

Ketua Polis Daerah Muar Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata abang mangsa kemudian menyiasat sebelum mengetahui adiknya melakukan hubungan seks dengan suspek.

Katanya, susulan itu satu laporan polis dibuat di Balai Polis Bukit Kepong kelmarin berhubung kejadian terbabit.

Menurut Raiz Mukhliz, suspek berusia 22 tahun bekerja di sebuah restoran makanan segera dilaporkan menunggang motosikal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan ke Bukit Kepong, dekat sini sebelum merogol  kenalannya itu di belakang sebuah rumah.

Lelaki itu sanggup berulang-alik sejauh hampir 300 kilometer semata-mata mahu melakukan perbuatan terkutuk terhadap remaja berkenaan sebelum ditahan semalam.

“Siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku sejak Mac lalu dan kali terakhir bulan lalu.

“Daripada maklumat diterima suspek akan menghubungi mangsa terlebih dahulu sebelum mereka berjumpa di kebun sawit terletak belakang rumahnya,” katanya.

Raiz Mukhliz berkata, bertindak atas laporan dibuat, suspek ditahan dan kini direman seminggu.

Perintah reman dikeluarkan  Majistret  Fatin Dalilah Khalid bagi memboleh siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.