Misbun Sidek beri bayangan sertai Persatuan Badminton Thailand

Misbun Sidek beri bayangan sertai Persatuan Badminton Thailand

 

Teka-teki sama ada legenda badminton negara, Datuk Misbun Sidek akan ke Thailand atau sebaliknya hampir menemui noktah apabila dirinya seperti memberi bayangan akan menerima pelawaan jika ada tawaran secara rasmi dari Persatuan Badminton Thailand (BAT).

Jelas Misbun, ketika ini beliau bersama tiga pemain remaja dari Thailand itu saling mengenali untuk melihat sama ada kedua-kedua pihak ada keserasian atau sebaliknya menerusi corak latihan yang diserapkan.

Baginya, bukan sesuatu yang mudah untuk melatih pemain dari luar negara apatah lagi jika mereka adalah pemain yang baru dibentuk untuk menjadi pemain terbaik negara itu pada masa akan datang.

“Sekarang ini hanya percubaan saja nak tengok bakat mereka (pemain remaja Thailand) selari tak dengan pencapaian akan datang. Saya lihat mereka (BAT) memberi kepercayaan penuh untuk saya bantu tingkatkan prestasi mereka. Kalau boleh, mungkin ia akan berpanjangan jadi sebab itu mereka hantar pemain ini.

“Berkenaan tawaran itu, saya akan bagitahu kemudian sebab saya tengah menilai dari segi budaya sebab mereka dari Thailand dan budaya mereka tak sama macam kita. Bila kita hendak latih orang, kita kena tahu budaya mereka, baru boleh kalau tidak susah juga. Melainkan kalau pemain itu sudah pandai tapi mereka datang dari pembangunan untuk persiapan kejohanan remaja dunia dan Sukan Olimpik Remaja (2026),” kata ketika majlis perasmian pameran Anak-Anak Sidek di Muzium Sultan Alam Shah, hari ini.

Tambahnya, beliau melihat apa yang terjadi sekarang adalah sesuatu yang positif apabila ada orang luar ingin mendapatkan khidmatnya dan sudi memberi kepercayaan kepada dirinya.

“Pada saya, apa mereka tawarkan ini adalah satu penghargaan yang penting untuk saya dan paling penting adakah saya boleh sampaikan ilmu kepada pemain mereka. Jadi sebab itu saya terima (melatih pemain Thailand) kerana ini satu percubaan.

“Kerana mereka pun tidak hantar pemantau sebaliknya pemain ini dari persatuan mereka sendiri. Saya tengok pemain ini mula agresif dan mereka seperti tidak mahu balik, ini yang saya nak tengok adakah saya boleh bantu pada masa akan datang dan ia terpulang kepada pihak persatuan itu sendiri untuk membuat keputusan,” katanya.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan regim latihan keras Datuk Misbun Sidek langsung tidak menggentarkan tiga pemain remaja Thailand yang kini berlatih di bawah bimbingan legenda badminton negara itu.

Tiga pemain remaja Thailand itu sanggup bersengkang mata bangun seawal jam 4.30 pagi demi menagih sentuhan ilmu daripada Misbun.