Minta kenaikan gaji tinggi punca Tyzo tidak disambung kontrak di Suria FM?

Minta kenaikan gaji tinggi punca Tyzo tidak disambung kontrak di Suria FM?

 

Di kala netizen masih hangat berbincang mengenai isu Tyzo tidak lagi berkhidmat sebagai penyampai radio di Suria FM, tampil satu sumber yang mendedahkan punca sebenar di sebalik keputusan itu.

Menurut laporan Malaysia Gazette yang memetik dari sumbernya berkata, kontrak Tyzo atau nama sebenar Tuah Zolqarnain, tidak disambung untuk tahun ini atas sebab permintaan kenaikan gaji yang tinggi.

“…dia meminta kenaikan gaji tinggi selepas bergelar penyampai radio popular dan mendapat tawaran di stesen radio lain.” – Sumber

Tyzo pada Julai 2023 dinobatkan sebagai Penyampai Radio Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ke-35 yang berlangsung di Istana Budaya. Kemenangannya itu sekali gus merampas trofi tersebut dari DJ Lin yang pernah memenangi kategori sama pada ABPBH 29, 32, 33 dan 34.

Bagaimanapun, pihak sumber manusia syarikat stesen radio itu hanya dapat memberi sedikit kenaikan, dan tidak dapat memenuhi permintaan Tyzo.

Setelah menerima maklum balas itu, Tyzo dilaporkan bersedia menyambung semula kontraknya dengan pelbagai syarat. Termasuk berkhidmat pada tempoh tertentu dan boleh meletak jawatan dalam tempoh 24 jam.

Namun, pihak pengurusan tertinggi mengambil keputusan untuk tidak menyambung kontraknya dan mencari penyampai radio yang baharu.

Terdahulu media sosial heboh dengan kenyataan Tyzo yang mendakwa dia telah dianiaya dan ditamatkan kontrak tanpa kerelaan. Ramai netizen memetik nama DJ Lin sebagai punca Tyzo tidak lagi berkhidmat di stesen radio tersebut.