“Mula-mula dia tak mengaku” – Pemandu Mercedes Benz 450 terbakar didakwa terlibat kes langgar lari
“Mula-mula dia tak mengaku” – Pemandu Mercedes Benz 450 terbakar didakwa terlibat kes langgar lari
Pada hari semalam tular dua video kemalangan berasingan yang berkait dalam satu insiden sama; sebuah Mercedes Benz terbakar di Plaza Tol Wangsa Maju dan sebuah motosikal dilanggar lari.
Terdapat juga gambar menunjukkan mangsa langgar lari itu mengalami kecederaan teruk di bahagian muka.
Astro Awani mendapatkan perkembangan terkini daripada kakak mangsa yang dikenali sebagai Syahrizah Saini.
Menerusi video temu bual tersebut, Syahrizah mengesahkan adiknya dalam keadaan kritikal di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
“Mukanya cedera teruk, berdarah tidak berhenti. Doktor telah beri dia (mangsa) makan pil untuk memberhentikan pendarahan.
“Buat masa ini mangsa berada dalam keadaan tidak stabil dan mengalami masalah ingatan,” kata Syahrizah.
Menurutnya lagi, semasa dia pergi membuat laporan, pihak polis agak terkejut apabila mendapat tahu kejadian Mercedes terbakar dengan kemalangan adiknya itu berkait dalam satu insiden sama.
“Mereka (pihak polis) menelefon pemandu Mercedes itu. Mula-mula dia tidak mengaku. Kemudian polis menyatakan pihaknya mempunyai pelbagai bukti berhubung kejadian tersebut.
“Selepas itu suspek (pemandu Mercedes) mula bertanyakan keadaan penunggang motosikal.
“Apabila saya selesaikan laporan, pihak polis menyatakan pemandu tersebut dalam perjalanan ke balai polis,” terang Syahrizah.
Terdahulu, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan kecemasan daripada sistem Merc 999 pada pukul 1.38 tengah hari, petik Harian Metro.
Sebuah jentera dengan kekuatan tujuh pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan.
“Setibanya pasukan di lokasi kejadian mendapati kebakaran membabitkan sebuah kereta.
“Kebakaran berlaku di bahagian enjin dan api berjaya dipadamkan sepenuhnya 2.15 petang,” kata Komander Operasi Nor Saiful Ibrahim.