“Takkan lah engineer pakai kereta lokal” – Lelaki bergaji RM3.5k menyesal ikut kehendak keluarga beli Honda

“Takkan lah engineer pakai kereta lokal” – Lelaki bergaji RM3.5k menyesal ikut kehendak keluarga beli Honda
Boleh dikatakan majoriti ibu bapa mengharapkan anak mereka yang bekerja untuk membeli kereta berjenama luar negara berbanding jenama lokal sendiri seperti Perodua dan Proton.
Ini yang terjadi kepada seorang pemuda yang mendakwa dirinya sangat menyesal kerana terlalu mengikut kehendak keluarga dan akhirnya perlu menanggung pelbagai komitmen di kemudian hari.
Menerusi satu tangkap layar yang dikongsikan oleh seorang pengguna Threads, seorang pemuda berkongsi bagaimana dia terpaksa menderita dengan pilihan membeli kereta jenama Jepun walaupun pada mulanya lebih selesa dengan kereta lokal sahaja.
“Saya sangat menyesal beli kereta jenama H masa baru-baru mula bekerja. Saya sebenarnya nak beli Bezza tapi keluarga saya cakap takkan lah engineer pakai kereta lokal,” kongsinya.
Tidak berfikir panjang, dia menyangka gaji permulaannya RM3,500 sudah cukup untuk membiayai komitmen bulanan RM1,000 dan boleh menggunakan baki untuk perkara lain.
Namun hanya selepas sudah mula membayar, barulah dia terasa bebannya apabila caj servis, cukai jalan dan tayar botak perlu menggunakan duit poket sendiri yang banyak.
Oleh itu, jurutera itu meminta pandangan daripada netizen sama ada perlu menurun taraf atau menjual kereta Hondanya itu dan bagaimana pula cara untuk menguruskan kewangan dengan lebih bagus jika mahu terus menyimpan kereta Honda itu.
Dalam pada itu, dia berharap agar ada kenaikan gaji pada tahun ini namun realitinya masih kekal seperti sebelum ini.
Menjengah ke ruangan komentar, ramai bersetuju dengan peribahasa yang meminta seseorang individu untuk mengukur baju di badan sendiri kerana takut mengalami masalah kewangan yang kritikal seperti ini.
Malah, ramai yang mendedahkan walaupun bergaji RM5,000 sekalipun belum tentu boleh membiayai komitmen dan bahagian kereta Honda dengan selesa kerana kosnya yang terlalu mahal.