Wanita sangka keluarga mentua ‘biasa’, suami pecah rahsia sebenarnya kaya tapi bakhil

Wanita sangka keluarga mentua ‘biasa’, suami pecah rahsia sebenarnya kaya tapi bakhil
Perkataan’Haji Bakhil’ amat sinonim dengan orang yang kedekut.
Haji Bakhil adalah watak yang direka oleh allahyarham Tan Sri P. Ramlee menerusi filem Labu Labi mengenai sikap seorang hartawan tetapi sangat berkira.
Sikap sedemikian sememangnya wujud di dunia nyata seperti dialami seorang wanita yang menyedari sikap bapa mentuanya yang sangat kedekut.
Wanita itu berkata, di awal perkahwinan dia tidak sedar bahawa keluarga mentuanya termasuk dalam golongan berada memandangkan mereka hanya tinggal di rumah papan dengan atap bocor.
“Makan minum pun dalam pinggan dan gelas percuma beli sabun dan sebagainya. Bilik air pun nampak suram dengan tuala disangkut pada tali rafia yang dipaku. Bagi saya ia menyeronokkan kerana pengalaman baharu.
“Bila ada anak, mereka nangis tak nak masuk bilik air sebab nampak seram dengan gelap lampu berkelip-kelip. Lantai kalau tak diberus agak berlumut,” kongsinya di media sosial.
Wanita itu memaklumkan dia hanya mengetahui keluarga mentua sebenarnya tidak miskin selepas dia menyatakan hasrat untuk membaiki bilik air rumah berkenaan.
“Saya ajak suami ubah suai bilik air tu tapi dia tak nak. Jadi saya minta izin mentua dan dia izin, cuma bajetnya biasa-biasa sahaja. Saya beli cat dan ubah suai lantai.
“Walaupun dia tak berterima kasih saya OK sebab bilik air berkenaan juga digunakan kami sekeluarga bila pulang ke kampung. Namun lama-lama, saya perhati apa-apa kos nak ubah suai rumah, mentua minta dari suami,” katanya.
Permintaan demi permintaan mentua menyebabkan suaminya naik angin sehingga dia mendedahkan bapanya adalah ‘orang kaya’ tetapi masih meminta duit daripada anak.
“Rupanya, mertua saya pencen lebih RM4,000 sebulan. Itu tidak termasuk duit kebun, kebun buah, sewa kedai, sewa kilang dan sebagainya.
“Saya pernah nampak orang hantar duit berkepuk-kepuk dekat rumah mentua tapi mentua cepat-cepat ambil dan sorok,” katanya.
Walaupun kaya raya, wanita itu mendedahkan keluarga mentuanya hanya makan satu jenis lauk sahaja pada tengah hari.
“Saya rasa nak menangis ketika sahur empat orang kongsi seekor ikan goreng dengan air kosong.
“Kalau saya bawa lauk banyak, mertua sorok atau bekukan. Nak makan lain hari, so tak payah masak dah. Saya bawa nak suruh mereka makan,” katanya.