Menteri PAS ‘sindir’ pemimpin PH, benda tak betul kita tetap bantah

NAIB Presiden PAS, Senator Idris Ahmad menegaskan parti itu akan terus memberi teguran berhubung isu-isu sensitif walaupun telah menjadi sebahagian daripada kerajaan Persekutuan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu berkata, beliau sendiri telah menyatakan bantahan kepada Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berhubung peningkatan cabutan khas judi sebelum ini.
“Saya bersetuju dengan peringatan bahawa kita jangan leka ketika berada dalam kerajaan, jangan kita tidak berani ditegur. Insya-Allah setakat hari ini, kita tegur… kita bukan macam PAN (Parti Amanah Negara) duduk dalam kerajaan. Ini PAS bukan PAN.
“Yang mana tak betul kita tegur, tapi kita tegur cara berkerajaan seperti isu (arak) Timah baru-baru ini, kita bangkitkan di Kabinet. Jadi ada benda kita bercakap, tak pernah duduk diam.
“Benda yang tak betul, kami bantah… jadi saya berjumpa secara peribadi dengan Menteri Kewangan berkaitan bab-bab ini. Maka kita buat (teguran dan bantahan) kerana kita tidak reda dengan apa yang berlaku,” katanya ketika ucapan penggulungan Muktamar Tahunan PAS ke-67, hari ini.
Beliau turut mempersoalkan pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang dilihat ‘berdiam diri’ dalam isu arak jenama Timah.
“Exco daripada Selangor memberi jaminan akan beri sokongan undang-undang kalau kerajaan membantah atau mengambil tindakan terhadap nama Timah. Mana suara pimpinan PH dalam hal ini.
“Kita tidak (sokong atau beralih arah), kita konsisten dalam bab ini,” katanya, seperti dilaporkan Malaysiapost.