‘Menteri Kesihatan ni tolong tukar, mengarut saja’ – Anak bekas Mufti Kedah

‘Menteri Kesihatan ni tolong tukar, mengarut saja’ – Anak bekas Mufti Kedah

 

Ketika negara masih menyaksikan penularan jangkitan Covid-19, seorang penceramah mendesak Perdana Menteri menukar Menteri Kesihatan yang pada masa ini disandang Khairy Jamaluddin.

Ustaz Ahmad Husam Datuk Baderudin dalam satu sedutan ceramahnya yang tular di TikTok meminta agar desakannya itu disampaikan kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Dia dilihat sama sekali menolak kedudukan Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau untuk terus menerajui Kementerian Kesihatan (KKM).

“Tolong sampaikan kepada Perdana Menteri. Menteri Kesihatan ni tolong tukar.

“Setuju atau tidak, kita minta usul tukar Menteri Kesihatan? Mengarut saja. Pergi hantar dia balik Rembau.

“Suruh dia duduk di Rembau diam-diam. Setuju?” katanya beberapa kali mengulang meminta pendengarnya di lokasi bersetuju dengan penegasannya itu.

Anak bekas Mufti Kedah itu juga secara sinis mengaitkan suntikan penggalak vaksin Covid-19 dengan Khairy.

“Bagi jarum kepada dia penuh-penuh. Bagi dia vaksin lebih. Suruh dia di rumah cucuk (vaksin). Hang nak cucuk sangat, hah cucuk,” tempelaknya lagi.

Sehubungan itu, Ahmad Husam yang pernah mengundang buah mulut orang ramai pada tahun 2019 kerana mencium tangan Najib Razak berkata, Menteri Kesihatan hendaklah dilantik daripada kalangan pakar perubatan.

“Tak letak orang politik pun tak mengapa. Lantik mana-mana doktor pakar bukan pekak.

“Beri satu jawatan senator kepada dia, letakkan dia sebagai Menteri Kesihatan untuk mengawal Covid-19 ni.

“Dalam Malaysia ni tiada doktor pakar? Doktor pakar yang betul-betul dia buat kerja.

“Orang politik walau apa pun dia akan fikir masa depan politik dia. Dia bukan nak fikir tentang kita,” selar Ahmad Husam lagi mengecam ahli politik.