Menteri Kesihatan Britain minta maaf, mengaku salah langgar SOP

Menteri Kesihatan Britain minta maaf, mengaku salah langgar SOP

MENTERI Kesihatan Britain pada Jumaat meminta maaf kerana melanggar sekatan pergerakan selepas sebuah akhbar menyiarkan gambarnya memeluk mesra serta mencium seorang wanita yang menjalin hubungan sulit dengannya.

Matt Hancock merupakan pegawai kanan kerajaan terbaharu dituduh melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang dikenakan terhadap rakyat Britain, dalam usaha membendung penularan wabak COVID-19.

“Saya akan teruskan kerja dengan tumpuan untuk mengeluarkan negara dari wabak ini, dan memohon keluarga saya diberi privasi dalam isu hal peribadi ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Akhbar tabloid Sun pada Jumaat memaparkan gambar menunjukkan Hancock, 42 tahun, yang sudah berkahwin selama 15 tahun, dan seorang pembantu wanita, berpelukan dan bercium di sebuah pejabat di Jabatan Kesihatan.

Gambar itu didakwa diambil daripada kamera litar tertutup (CCTV) pada 6 Mei – 11 hari sebelum peraturan sekatan pergerakan dilonggarkan, membolehkan pelukan dan hubungan fizikal lain di luar rumah sendiri.

Sementara itu, parti pembangkang menggesa Hancock dipecat kerana melanggar sekatan.

Pembantu wanita itu, Gina Coladangelo, 43 tahun, mula bekerja tahun lalu sebagai penasihat tanpa gaji dan tahun ini menjadi pengarah bukan eksekutif di Jabatan Kesihatan.

Dia yang dilaporkan dibayar gaji sekitar 15,000 pound setahun, dikatakan telah lebih 20 tahun berkawan rapat dengan Hancock.

Hancock menerima tekanan selama berminggu-minggu sejak bekas pembantu perdana menteri Dominic Cummings menuduhnya menyebabkan kegagalan kerajaan dalam mengawal wabak COVID-19 di United Kingdom.

Sumber: Astro Awani