Menteri KASA minta bantuan ATM dan PDRM untuk jaga sungai

Menteri KASA minta bantuan ATM dan PDRM untuk jaga sungai

KUALA SELANGOR: Kementerian Alam Sekitar dan Air akan menubuhkan Unit Jenayah Alam Sekitar untuk menangani isu pencemaran.

Menteri, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata langkah penyelesaian jangka sederhana itu akan dilaksanakan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), bagi menyelaras tindakan bersama di antara agensi penguat kuasa bagi membanteras kegiatan pencemaran sungai.

Tuan Ibrahim berkata, cadangan itu secara dasarnya dipersetujui Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam perbincangan pagi tadi.

Selain itu, katanya, cadangan sama juga dijangka dibincangkan dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam masa terdekat.

“Unit ini dicadang untuk diletakkan di bawah sektor keselamatan, memandangkan isu berkaitan air dan alam sekitar ini dilihat berpotensi menjejaskan keselamatan negara, terutama ekonomi dan kesejahteraan rakyat, jika sebarang bencana berlaku,” katanya selepas melawat Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1 dan sesi bersama petugas pelbagai agensi berkaitan yang terbabit sepanjang penguatkuasaan dan pemulihan bekalan air di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, kementerian itu juga akan mempercepat pindaan terhadap Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 yang antara lain bagi mengenakan penalti lebih berat dan bercadang membentangkannya pada sesi persidangan Dewan Rakyat akan datang.

Kementerian juga akan memastikan Jabatan Alam Sekitar (JAS) menjalankan pemantauan terhadap kualiti air mentah secara berkala dan meningkatkan kekerapan operasi melalui penguatkuasaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Penguatkuasaan ini akan dilakukan secara mengejut ke lokasi di huluan muka sauk. Untuk makluman, saya sebenarnya selalu turun ke sungai dan selepas ini kita akan lebih giatkan aktiviti pemantauan ini.

“Kementerian juga akan mengemuka kepada Jemaah Menteri kertas cadangan inisiatif untuk memastikan sumber air mentah tidak dicemari dan menyebabkan gangguan bekalan air,” katanya.

Mengenai status bekalan selepas gangguan berikutan pencemaran Sungai Gong di Rawang minggu lalu, Tuan Ibrahim berkata, pemulihan sudah mencapai 75.31 peratus membabitkan 93.27 peratus daripada keseluruhan pemilik akaun yang terjejas dan dijangka pulih sepenuhnya pada jam 6 pagi Rabu ini.

“Tempoh berbeza bagi penerimaan bekalan didorong pelbagai faktor, antaranya ialah jarak kawasan penempatan daripada loji dan aras kediaman di kawasan tinggi atau berbukit kerana agihan turut membabitkan faktor tekanan air atau graviti.

“Justeru, saya meminta pengguna menggunakan air secara lebih berhemah bagi memastikan proses pemulihan bagi kawasan yang masih terjejas berjalan lancar mengikut pelan pemulihan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Sumber : Berita Harian