Menjelang Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu, Sultan Johor muatnaik pesanan tanda orang munafik

Menjelang Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu, Sultan Johor muatnaik pesanan tanda orang munafik

 

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dalam status akaun Facebooknya memuatnaik satu pesanan berhubung tanda-tanda orang munafik menjelang Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu yang akan berlangsung hari ini.

Dalam status itu, pesanan yang dimuatnaik menjelaskan berhubung tiga tanda orang munafik yang dipetik daripada Hadis Riwayat Al Bukhari dan ia menerima banyak komen balas daripada orang ramai.

“Tanda-tanda orang munafik ada tiga iaitu: Apabila dia bercakap dia berdusta, dan apabila dia berjanji dia memungkiri, dan apabila dia diberi amanah dia telah mengkhianati,” tulis pesanan tersebut dalam status Facebook akaun Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Sementara itu, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi tulisan yang dimuat naik diruang komen Instagram miliknya, hrhcrownprinceofjohor pula berkata Johor tidak mahu terlibat dalam sebarang keputusan yang menjejaskan Perlembagaan, Kedaulatan Institusi Diraja dan Kesejahteraan Rakyat.

“Apa-apa keputusan yang akan menjejaskan Perlembagaan, Kedaulatan Institusi Diraja dan kesejahteraan rakyat, Johor tidak ingin terlibat.

“Keutamaan adalah kestabilan negara, kehidupan rakyat dan bukan kepentingan peribadi,” tulis TMJ dalam komennya.

Tumpuan massa hari ini terarah ke Istana Negara apabila Raja-Raja Melayu dijadual mengadakan pertemuan bagi membincangkan isu semasa negara, khususnya berhubung pelantikan Perdana Menteri Malaysia Kesembilan.

Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu itu dijadual bermula jam 2.30 petang, dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menurut Bernama.

Tumpuan dijangka terarah kepada perbincangan bagi melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang mendapat sokongan majoriti untuk dilantik sebagai Perdana Menteri selaras dengan Perkara 43(2)(a), Perlembagaan Persekutuan.

Ia berikutan keputusan Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan sebagai PM pada 16 Ogos lalu.

Tangkap layar perkongsian Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Sumber: agendadaily