Menjadi sejantan Datuk Chef Wan
Jangan tanya saya macam mana nak cari jodoh sejantan Datuk Chef Wan (DCW). Tiada tips untuk mengenal lelaki seperti DCW. Yang sense of responsibility nya tahap dewa. Yang bukan tanggungjawab dia pun, dia rasa nak bertanggungjawab.
Tak semestinya lelaki spt DCW datang dgn pakej lelaki metro bergaya bak hero malaya. Tak semestinya dengan pakej serban berjubah putih berjanggut sejemput muka penuh bercahaya. DCW adalah lelaki yang seperti semua orang lihat.
Menjadi lelaki itu bukan sahaja pada penampilan, tetapi pada jiwa yang cenderung ‘melindungi’ wanita dan anak-anak. Jiwa yang kasih dan belas pada golongan yang lemah dan tidak berkemampuan. Jiwa yang menterjemahkan cinta dengan tidak sanggup melihat orang yang dicintai hidup susah dan melarat.
HAMPIR MUSTAHIL
Sepanjang handle kes perceraian terutama kes nafkah anak, hampir mustahil jumpa si bapa yang bersetuju dengan tuntutan nafkah yang dibuat. Apatahlagi yang bila tuntut rm1000 sebulan utk 3 orang anak, dia nak bagi lebih RM2000. Memang mati hidup balik pun tak jumpa.
Yang ada, daripada RM1000 tu dia diskaun rapat sampai tinggal RM300 utk 3 orang anak sebulan. Mungkin dia ingat anak-anak dia dah bertukar jadi anak-anak lembu makan rumput lepas bercerai.
Belum lagi tuduhan si bapa kata si ibu nanti ‘makan’ duit nafkah yang sejemput dia bagi tu. Siap buat tuduhan kata guna alasan anak-anak nak kikis duit bekas suami. Yang dia tak tahu atau terlupa si ibu dah top up/cover banyak dah belanja anak yang tak cukup tu.
Siap bertolak gadai barang kemas semua nak cukupkan keperluan anak-anak. Yang dituntut tu dah siap-siap diskaun. Kalau si ibu ni buat kiraan betul-betul, memang tinggal spender je lah si bapak tu.
Itu pun berkira gila. Bila bab nak kena bayar nafkah bentang sekitab hutang piutang, cerita duka lara dia. Bila mai nak poligami, boleh pulak dia bentang 10 kitab aset dia seluas langit dan bumi nak tunjuk mampu tanggung 10 bini sekaligus. Dan dan hilang semua hutang piutang papa kedana dia.
LELAKI PELINDUNG
Apa yang DCW buat memanglah bukan lagi tanggungjawab dia. Nafkah isteri yang dah habis iddah, bukan legal obligation tetapi lebih kepada moral obligation. Yang ramai, nafkah isteri yang jadi legal obligation pun jenuh mengemis. Bila bercerai, terus dihalau dan dipulau.
Mati kebulur ke, merempat ke si isteri tu dia dah tak ambil tahu. Padahal dalam tempoh iddah, si suami masih bertanggungjawab bagi nafkah kecuali jika isteri disabitkan nusyuz oleh Mahkamah. Bukan oleh suami.
Kita hampir kepupusan lelaki sejati bersifat pelindung wanita. Lelaki berkebajikan dan belas terhadap wanita yang telah berkorban nyawa melahirkan zuriatnya.
Lelaki yang merasa terhutang budi dan nyawa terhadap wanita yang pernah hidup susah bersamanya. Yang tidak mungkin menyakiti dan mengasari wanita kerana akan menjatuhkan maruah kelelakiannya.
Jika ada ramai lelaki sebegini, muncullah dan didiklah kaum kalian sebelum ia benar-benar pupus dari muka bumi.
Kredit: Nurul Izzah Zainol via OMM