Mengejutkan! Punca kepala air di Gunung Jerai dikesan, ada 4 semuanya

Mengejutkan! Punca kepala air di Gunung Jerai dikesan, ada 4 semuanya

 

Sekurang-kurangnya empat kesan runtuhan tanah berlaku di puncak Gunung Jerai yang dipercayai menyebabkan bencana geologi membabitkan aliran lumpur dan puing di kawasan kaki gunung itu, Rabu lalu.

Ketua Cawangan Kepakaran Geologi Kejuruteraan, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Dr Ferdaus Abdullah berkata, empat kesan itu berdasarkan pemantauan awal yang dilakukan Pasukan Task Force Bencana Geologi di sekitar Gunung Jerai hari ini.

Jelasnya, kejadian tanah runtuh berkenaan boleh dikaitkan daripada hujan berterusan dalam masa panjang dan mungkin disebabkan gegaran gempa bumi.

“Dalam kes di Gunung Jerai, kita dapati sebelum kejadian, berlaku hujan pada kadar luar biasa selain keadaan muka bumi gunung yang bersudut lebih 25 darjah mempunyai retakan batuan kesan luluhawa, seterusnya menyebabkan tanah runtuh.

“Pengamatan visual mendapati sekurang-kurangnya ada empat kesan tanah runtuh yang besar pada gubir gunung dengan penduduk asal memaklumkan kawasan itu dilitupi tumbuhan dan tanah, namun selepas kejadian Rabu lalu, keadaan batuan lebih luas dan itu menunjukkan runtuhan berlaku,” katanya pada sidang media di sini.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang Rabu lalu, berlaku fenomena kepala air dan banjir lumpur yang turut menghanyutkan pokok balak sehingga menjejaskan lebih 1,000 keluarga di Yan, Gurun dan Merbok.

Ferdaus berkata, pada masa ini pihaknya masih melakukan siasatan terperinci termasuk memerlukan maklumat pemetaan yang akan dibuat melalui khidmat dron Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JuPem), Isnin ini.

“Sebenarnya ini adalah proses semula jadi apabila terdapat gabungan batuan tertentu dan retakan pada muka bumi serta faktor penyumbang seperti hujan dan getaran, maka di mana-mana lokasi boleh berlaku tanah runtuh.

“Disebabkan itu, kita perlu dron untuk kenal pasti di mana runtuhan dan melalui maklumat pemetaan kita akan tanda kawasan yang berlaku runtuhan bagi membolehkan pasukan penyiasat mengetahui sama ada berlaku banjir atau empangan di gunung yang menyebabkan kepala air,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JMG Kedah, Perlis dan Pulau Pinang, Abdulah Sulaiman berkata, bencana geologi di Gunung Jerai mempunyai persamaan dengan beberapa kejadian yang pernah berlaku seperti di Pos Dipang, Perak pada 1996.

Katanya, hasil kajian dan siasatan serta penilaian risiko di Gunung Jerai perlu dibuat segera bagi mengelak kemungkinan kejadian berkenaan berulang dengan tindakan awal dapat diambil.

“Selepas mendapat hasil kajian dan siasatan Gunung Jerai, kita akan membuat syor kepada pihak kementerian dan kerajaan tempatan bagi dipertimbangkan.

“Kita juga akan masukkan sekali penilaian risiko untuk mengelak bencana seperti ini berulang,” katanya.

Sumber: Harian Metro