Mengaku bunuh rakan baik 4 tahun lalu, bekas pelajar tingkatan enam dipenjara 30 tahun

Mengaku bunuh rakan baik 4 tahun lalu, bekas pelajar tingkatan enam dipenjara 30 tahun

 

Seorang bekas pelajar tingkatan 6 dijatuhi hukuman penjara selama 30 tahun di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu hari ini atas  tuduhan membunuh rakannya pada 4 tahun lalu.

Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani selepas tertuduh, Siti Nur Athirah Azmi, 23, mengaku salah terhadap pertuduhan berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Siti Nur Athirah didakwa membunuh mangsa, Siti Nur Surya, 19 di rumahnya di Kampung Lubuk Batu, Jalan Bukit Tadok, Telemong , Hulu Terengganu antara jam 8.30 pagi hingga 9.30 pagi pada 1 November 2020.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun dan hukuman tidak kurang 12 sebatan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Namun hukuman diubah bersasarkan kepada pindaan terkini mengikut Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023. Susulan itu, mahkamah telah mengarahkan hukuman penjara bermula daripada tarikh tangkap iaitu pada 2 November 2020.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amer Abu Bakar Abdullah dan Mohd Khairuddin Idris manakala tertuduh diwakili peguam, Azura Ghazali.

Sebelum ini dilaporkan seorang remaja perempuan ditemui mati dipercayai dibunuh dengan beberapa kesan tikaman di bahagian badan termasuk putus pergelangan tangan kiri di Kampung Lubok Batu, Telemong, Kuala Berang pada 1 November 2020.

Dalam kejadian itu, mangsa ditemui tertiarap di ruang tamu rumah berkenaan oleh adiknya yang baru pulang dari sekolah.

Tambah menyedihkan perbuatan kejam itu disaksikan ibu Siti Nur Surya yang terlantar sakit akibat kanser otak di katil berhampiran.